Eh, Ada Program Baru Lah! Daftar Hari Ni, Esok Terus Kaya…

Anggaran masa membaca: 2 – 3 minit

cheese

Dalam erti kata lain, Skim Cepat Kaya atau ringkasannya adalah SCK. Macam juga masalah-masalah jenayah lain, buatlah macam mana pun, tangkap lah seberapa ramai penagih dadah atau pencuri-pencuri sekitar Kampung Cik Zainal, Chemor; golongan ini tetap ada di mana-mana sekalipun.

Begitu juga halnya dengan penganjur SCK ini. Terutamanya sekali SCK melalui internet yang sukar untuk dibendung lagi.

Disini, aku bukannya hendak bercerita penipuan-penipuan oleh SCK ini. Tetapi, apa yang aku ingin perkatakan adalah mengenai mentaliti rakyat Malaysia sendiri yang mudah percaya dengan apa yang terpampang di laman-laman web si penipu ini. Mereka percaya sekiranya mereka menjadi sebahagian daripada ahli SCK ini suatu hari nanti mereka akan berkongsi nama dengan Dr. Irfan Khairi di muka depan surat khabar.

Mimpilah!

Cukup sekadar tertera di halaman web tersebut:

“Alhamdullillah, Akhirnya Anda Menemui Sistem Yang Saya Cipta Sendiri Untuk Anda Bagi Menyelesaikan Masalah Kewangan Yang Anda Sedang Hadapi. Sebagaimana Dalam Hadis Ada Menyebut…”

Orang yang membacanya akan teruja akan dua sebab iaitu:

  • Ada menyebut Alhamdullillah dan menyentuh sebaris hadis. Dua perkara ini sudah cukup membuatkan kita akan berasa orang disebalik tabir adalah orang yang baik-baik keturunannya dan tidak pernah tinggal solat lima waktu sehari.
  • Setiap orang mempunyai masalah kewangan tersendiri. Ada yang tiada masalah kewangan tetapi ingin menambah kekayaan dengan sedikit tamak di sanubari. Jadi, orang ‘baik serta alim’ tersebut mampu menyelesaikan masalah yang anda sedang hadapi.

Hah, dua perkara tersebut sudah mampu menjerat anda sebagai mangsa penipuan cyber!

Maka, hati-hati lah dengan setiap perkataan yang menjanjikan dapat menyelesaikan masalah anda dengan pantas tanpa anda berusaha langsung.

Kerana, tiada jalan mudah untuk cepat kaya. Anda perlu berusaha bermati-matian untuk menjadi jutawan. Anda perlu mengorbankan masa anda bagi mencapai objektif untuk menjadi kaya. Jadi, tiada sebab anda boleh kaya tiba-tiba dengan mudah.

Aku cadangkan anda membaca buku “Mencari Maut” oleh Azizi Ali bagi melengkapkan benteng pertahanan anda sebelum ditipu atau sedang ditipu hidup-hidup.

Eh, Bagi Diskaun Separuh Harga… RM45 Ni Mahal Lah!

Anggaran masa membaca: 2 – 3 minit

angela

Ini satu lagi kenyataan yang kita perlu hadapi. Asal beli barang, mesti ada tawar menawar harga. Ada seorang penulis ebook ini bercerita pada aku yang dia kerap dihubungi oleh sesetengah pelawat laman web beliau yang mahukan potongan harga.

Halooo….. ini bukan pasar malam, bang!

Anda pernah pergi ke pasaraya Giant, Carrefour atau Extra kan? Anda pernah minta diskaun ketika membayar di kaunter pembayaran? Aku tidak pernah. Anda pernah minta potongan harga lagi sedangkan kain rentang dan poster-poster terpampang “POTONGAN HARGA HINGGA 45%” depan mata anda?

Aku juga percaya anda tidak pernah. Sekiranya pernah, anda seorang yang pelik…

Tetapi, bila kita cuba menjual ebook, perisian atau apa-apa produk sekalipun secara online dan offline, mesti ada yang minta diskaun. Walaupun harga produk kita sememangnya sudah diberi diskaun dan sudah habis murah…

Anda sebagai peniaga pun tidak boleh sewenang-wenangnya menurunkan harga sampai menjatuhkan produk anda sendiri. Katakan anda menjual produk informasi atau ebook ‘Bagaimana Menghasilkan RM50 Sehari Tanpa Modal’. Bolehkah anda menjualnya dengan harga RM10? Mustahil! Aku sanggup makan kepala Aku sendiri daripada menjual pada harga yang tidak masuk akal!

Anda sebagai pemilik produk boleh memberi diskaun. Ianya tidak salah dan tiada dalam satu kitab pun melarang anda daripada memberi diskaun kepada pelanggan. Tetapi, anda tidak boleh memberi diskaun apabila seseorang datang pada anda meminta diskaun. Ini memberi tanggapan bahawa produk anda tiada harga dan informasi yang terkandung di dalam ebook tersebut adalah rendah kualitinya.

Lebih teruk lagi, manusia tadi yang telah mendapat harga murah dari anda menghebahkan pula dalam blognya bahawa dia mendapat harga RM10 sahaja daripada harga asalnya iaitu RM45. Kononnya, beliau adalah manusia yang paling bertuah.

Jadi, persoalannya dimanakah urusan perniagaan yang sebenarnya disini?

Harga produk anda adalah maruah anda. Habis cerita!

P/S: Awek di atas hanya sebagai penyeri pos aku kali ini :D Klik sini untuk berkenalan dengan beliau.

Rahsia Buat Duit Dengan eBay

Anggaran masa membaca: 2 – 4 minit

Rahsia Buat Duit Dengan eBay

Hari Sabtu baru-baru ini sekali lagi percubaan terbaru aku ke MPH Alamanda untuk mencari buku Azahar Abdul Rahman yang bertajuk “Rahsia Buat Duit Dengan eBay”. Ntah yang ke berapa kali aku ke MPH Alamanda untuk membeli buku tersebut, aku pun dah tak ingat. Apa yang aku ingat dengan jawapan pekerja-pekerja MPH adalah tiada stok.

Akhirnya aku cuba Google tajuk buku tersebut dan seterusnya membawa aku ke laman web e-commerce http://www.bookcafe.com.my. Tanpa berlengah, aku terus mencari buku “Rahsia Buat Duit Dengan eBay” dan aku dapati buku tersebut ada dalam stok. Apa lagi, aku terus beli lah :D

Di bawah adalah maklumat pesanan tersebut:

Kaedah pembayaran: Maybank2u.com (Maybank2u.com)
Penghantaran: Pos Malaysia – Pos Laju
Subtotal: RM22.00
Kos penghantaran: RM6.50
Diskaun: RM3.00
Taxes: Pos Laju – Surcaj + Cukai Kerajaan 25% (123456) RM1.63
Jumlah: RM30.13

Aku harapkan kos penghantaran adalah percuma. Tetapi, tak mengapa lah… Aku anggap yang buku ini kategori rare :p Bayar lebih sikit pun tak mengapa. Berkenaan cukai sebanyak RM1.63 tu aku tak pasti. Aku beli buku secara online di http://www.millionairesplanet.com pun tak ada pula kena apa-apa cukai. Malah, kos penghantaran juga percuma.

Sebenarnya, aku sudah membaca buku tersebut di Google Book Search. Memandangkan buku ini bagus untuk rujukan serta dapat memenuhkan perpustakaan mini aku, aku rasa buku ini berbaloi untuk dibeli.

Aku sarankan kepada sesiapa yang mahu mempelajari asas eBay, dapatkan lah buku ini. Harga di kedai-kedai buku adalah RM25.00 sahaja. Akan tetapi, sekiranya anda berasa was-was dengan mutu penyampaian buku tersebut, anda boleh membacanya di Google Book Search untuk menilaikannya sendiri. Sekiranya menepati citarasa anda, maka beli lah di http://www.bookcafe.com.my ataupun di kedai-kedai buku berhampiran.

Paypal – Notification of Limited Account Access

Anggaran masa membaca: 3 – 4 minit

Paypal - Access Limit

Pada February 20, 2009, genaplah 13 hari akaun Paypal aku dikenakan tindakan tatatertib; Atau dengan erti lainnya adalah "Limited Account Access". Ini disebabkan kemasukan tsunami wang yang luar biasa, maka Paypal dengan penuh dedikasi menjalankan tanggungjawabnya membekukan akaun aku daripada cubaan untuk memindahkan atau mengeluarkan wang.

Di bawah adalah kenangan-kenangan yang telah aku lalui bersama Paypal:

  1. Feb 7, 2009 11:06 AM
    Terima emel pertama daripada Paypal yang bertajuk – "Notification of Limited Account Access RXI***". Sebaik sahaja terima emel tersebut, aku terus hantar salinan kad pengenalan dan surat insurans anak aku sebagai bukti alamat aku.
  2. Feb 8, 2009 2:21 PM
    Terima emel ke dua daripada Paypal yang bertajuk – "Request for additional information PP-***-***-***RXI***". Emel kali ini mengatakan yang aku perlu menghantar salinan asli invois bagi barangan yang aku jual di eBay. Dan aku juga perlu menyerahkan tracking number, nama syarikat kurier serta pautan bagi laman web syarikat tersebut. Aku cuma dapat hantar invois sahaja kerana pembekal belum beri maklumat penghantaran barangan tersebut.
  3. Feb 10, 2009 4:36 PM
    Terima emel ke tiga daripada Paypal yang bertajuk – "Request for additional information PP-***-***-***RXI***". Emel ini mengatakan invois yang aku hantar 2 hari lepas adalah bukan invois asli. Dan minta aku hantar invois yang asli daripada pembekal barang.
  4. Feb 12, 2009 3:53 PM
    Terima emel ke empat daripada Paypal yang bertajuk – "Request for additional information PP-***-***-***RXI***". Emel ini mengesahkan maklumat seperti invois dan tracking number yang aku hantar 2 hari lepas adalah benar. Tetapi, akaun Paypal aku tidak dapat dilepaskan kerana mereka perlukan lebih lagi maklumat. Apa yang aku perlu lakukan seterusnya adalah, aku perlu screenshot emel pelanggan aku yang mengatakan bahawa barangan yang dihantar telah selamat sampai dan barangan tersebut di dalam keadaan baik.
  5. Feb 20, 2009 1:38 PM
    Emel terakhir daripad Paypal yang bertajuk – "Your PayPal Account Access Has Been Restored". Nah, akhirnya akaun Paypal aku berfungsi seperti biasa :D

paypal-restored

Selama 13 hari aku dalam keadaan gundah. Runsing mengenangkan isteri aku mengatakan yang aku kemungkinan ditipu oleh pembekal barang tersebut. Katanya, tokei yang pos barang tersebut sedang bercuti di Hawaii dengan wang aku. Sekiranya barang tersebut tidak di hantar, berkemungkinan besar tidak akan dapat wang aku kembali di dalam Paypal.

Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar. Barang tersebut selamat sampai.

Fakta:

  • Senarai pertama di eBay selama 7 hari mendapat sambutan dengan 370 viewed
  • Mendapat 2 tempahan tetapi perlu dibatalkan. Supplier aku di China tutup kedai selama seminggu untuk menyambut Chinese New Year
  • Meneruskan penyenaraian yang ke dua kalinya dan berjaya dijual
  • Jumlah keseluruhan emel daripada ‘potential prospect’ adalah 14

Boleh Ajar Saya Buat Website Dari A Sampai Z…?

Anggaran masa membaca: 2 – 2 minit

Boleh Ajar Saya Buat Website Dari A Sampai Z…?

Saya percaya soalan sebegini pernah diajukan pada anda sekiranya anda mempunyai website atau blog. Saya sendiri pernah menerima emel-emel sebegini sejak dari tahun 2000. Tetapi, sejak kebelakangan ini saya acapkali ditanyakan bagaimana membuat ebook pula. Huh!

Soalan tersebut mampu dijawab dengan mudah oleh Encik Google! Anda taip sahaja apa soalan sekalipun di ruangan ‘search’ yang disediakan. Pasti Google memberi jawapannya!

Ataupun, anda juga boleh mencari jawapan anda di Yahoo! Answers.

Apa yang ingin saya sampaikan disini adalah – anda perlu berusaha terlebih dahulu mencari jawapan sebelum bertanyakan soalan tersebut pada orang lain.

Sekiranya anda bertanyakan soalan yang boleh anda perolehi daripada Google atau mana-mana enjin pencari, soalan anda itu adalah soalan bodoh! Ya, perlukah saya ulangi perkataan tersebut ? Oh, tak perlulah!

Akibatnya, soalan anda tidak akan dijawab dan anda akan dianggap pemalas.

Anda tidak boleh mengharapkan bantuan 100% daripada orang lain sebelum anda berusaha terlebih dahulu mencari penyelesaiannya. Ianya adalah sebahagian dari proses pembelajaran anda. Setiap proses pembelajaran pula ada peringkat-peringkat yang perlu dilalui.

Jadi, anda perlu mengambil masa untuk mempelajari setiap peringkat tersebut.

Sekiranya anda serius untuk menjalankan apa-apa jenis perniagaan sekalipun, anda tidak boleh mengharapkan orang lain memberitahu apa yang anda perlu lakukan. Anda cuma boleh mendapatkan cadangan atau nasihat daripada mereka dan tidak lebih dari itu.