Archive for 'Umum'

Aku Seorang Ekstremis…

Anggaran masa membaca: 3 – 4 minit

Aku Seorang Ekstremis

Apa khabar pembaca-pembaca blog FarizalHassan.com semua sepanjang tahun ini. Pada tahun 2010 ini aku menjadi seorang yang amat sibuk secara tiba-tiba dan tiada masa yang aku peruntukkan langsung untuk mengemaskinikan blog ini. Jadi, maafkan lah aku seadanya…

Sepanjang tahun 2010 ini, tanpa aku sendiri sedari, aku menjadi seorang ekstremis. Dengan ekstremnya, aku melakukan perkara-perkara yang dapat meningkatkan tahap hidup aku dengan lebih positif. Dengan sasaran matlamat baru untuk tahun 2011, aku nekad untuk menjadi seekor kuda lumba Sport Toto yang matanya hanya boleh memandang ke hadapan sahaja. Tanpa peduli kiri dan kanan.

Dalam beberapa buku yang telah aku baca, ada bercakap mengenai perkara yang sama. Cuma gaya penyampaiannya sahaja berbeza. Iaitu:

“Perlu menjadi seorang yang ekstremis untuk berjaya dalam setiap perkara.”

Kita perlu menjadi seorang yang cukup ekstrem dan taksub ke atas setiap matlamat yang kita sasarkan bagi memastikan ianya dicapai. Kita tidak boleh menetapkan matlamat ingin menjadi perdana menteri Afrika kalau perilaku dan mentaliti kita masih melakukan perkara harian yang sama seperti bermain PS3 sampai subuh, main snooker sampai lupa kelurga dan minum segelas teh tarik di restoran mamak selama 2 jam. Bukan nak jadi perdana menteri Afrika je pun tidak boleh, nak kerja kerani pun tak dapat.

Untuk mencapai matlamat yang disasarkan, anda perlu meninggalkan apa yang anda lakukan sekarang. Maksud aku, bukannya aku suruh tinggalkan blog ini – Tetapi, tinggalkan perkara-perkara yang langsung tidak ada sangkut paut dengan matlamat yang anda sasarkan. Sekiranya anda mempunyai rakan yang sentiasa memperlekehkan anda, tinggalkan sahaja beliau. Bukannya putus sahabat, tetapi sekiranya terjumpa kat mana-mana, tegurlah rakan anda itu seperti biasa dan sekali sekala jumpa untuk bersembang. Dalam erti kata lain, bataskan perbualan dan masa anda sahaja.

Menjadi ekstremis yang positif memang agak sukar bagi sesetengah orang seperti perokok. Seringkali gagal berhenti merokok pasal rakan-rakan perokok tegar sentiasa disekelilingnya. Disebabkan ini, jangan salahkan rakan anda itu, tetapi salahkan diri sendiri kerana ke-ekstrem-an dalam diri tidak cukup hebat. Baru offer rokok sebatang, dah lupa matlamat untuk berhenti merokok.

Begitu juga dengan masalah kad kredit yang tertunggak. Sekiranya sifat ekstrem dalam diri tidak cukup kuat, matlamat untuk melangsaikan hutang-hutang tertunggak kad kredit juga gagal.

Ini belum masuk cerita kaki todi dan judi…

Matlamat setiap orang adakalanya sama. Akan tetapi, bagaimana cara ianya dilakukan untuk mencapai matlamat masing-masing adalah berbeza. Suasana sekelilingnya juga kemungkinan besar jauh bezanya. Seperti apa yang aku lalui, adakalanya ada di antara rakan-rakan aku ini memerli dan mempersenda setiap keputusan yang aku buat. Apa yang aku lakukan hanyalah diam, senyum dan buat-buat tak paham. Aku tidak-tidak sesekali cuba buat mereka faham kerana ianya bukan sehari punya kerja.

Sekiranya anda mempunyai matlamat dan matlamat itu dapat meningkatkan taraf hidup anda sekeluarga, berbaloi untuk anda menjadi seorang ekstremis. Pengorbanan yang bakal anda lakukan dan perjalanan yang akan ditempuhi akan dibayar dengan setimpal.

PS: Artikel kali ini agak ringkas agar anda boleh lihat kembali sasaran matlamat anda dan renung-renungkan sepanjang usaha pada hari-hari yang lepas adalah setanding dengan matlamat anda atau tidak :)

FWD: Surat Terbuka Untuk Azizi Ali

Anggaran masa membaca: 3 – 4 minit

FWD: Surat Untuk Azizi Ali

Kehadapan Encik Azizi Ali,

Saya menaip warkah digital ini secara terbuka berkenaan buku yang berjudul “Jutawan Dari Planet Jupiter” yang berjaya mengubah hidup saya dan kini sedang menikmati kebahagiaan bersama keluarga tersayang.

Saya amat berterima kasih kepada anda selaku penulis buku “Jutawan Dari Planet Jupiter” yang berjaya mengubah kegilaan saya suatu ketika dahulu yang amat pakar bagi menghabiskan wang dalam waktu yang singkat. Poket saya adalah suatu tempat persinggahan bagi pendapatan bulanan saya dimana sebahagian besarnya adalah untuk membayar tunggakan kad kredit, sewa beli bulanan kereta dan membeli belah barangan yang berjenama.

Istilah-istilah dalam dunia kewangan peribadi seperti dana kecemasan, simpanan bulanan secara tetap, aliran tunai, pelan perbelanjaan dan beberapa istilah lain yang terkandung dalam buku tersebut adalah amat asing suatu ketika dahulu. Istilahnya seolah-olah sedang membaca buku sains, astronomi atau puisi Cleopatra.

Buku “Jutawan Dari Planet Jupiter” tersebut saya dapati ketika sedang memikirkan bagaimana untuk mencari duit lebih untuk membayar hutang tertunggak kad kredit. Kepercayaan saya ketika itu adalah saya perlu bekerja keras untuk mendapatkan wang lebih setiap bulan. Dan, kepercayaan saya juga ketika itu adalah tiada siapa yang mampu menyelesaikan masalah saya dan tiada satu buku apa pun yang mampu mengubah hidup saya. Itu adalah kepercayaan saya suatu ketika dahulu.

Setelah membaca berulang-ulang kali buku “Jutawan Dari Planet Jupiter”, saya makin memahami apa yang anda cuba sampaikan. Walaupun kata-kata yang disampaikan itu cukup pedas (siapa makan cili, dia lah yang terasa pedasnya), saya tetap menelan cili tersebut satu persatu. Saya mempunyai satu nekad, iaitu saya perlu lakukan perubahan yang besar dalam sejarah hidup saya. Dan, ianya perlu dilakukan serta merta! Walaupun perit, ia perlu dilakukan.

Saya rasa anda sebagai penulis buku ingin mengetahui apakah perubahan yang terjadi keatas diri saya. Baiklah, saya senaraikan sebahagian yang terpenting perubahan-perubahan tersebut di bawah:

  1. Menyelesaikan kad kredit (Inilah matlamat utama saya membeli buku anda!)
  2. Menyelesaikan beberapa hutang yang betul-betul tertunggak
  3. Mempunyai simpanan secara tetap setiap bulan sebanyak 26% daripada pendapatan bulanan yang dimana sebelumnya saya tidak pernah menyimpan wang
  4. Memberi satu hobi baru iaitu membaca segala buku yang melibatkan wang yang dahulunya saya tidak ada masa untuk membaca buku. Tetapi, kini agak pelik tiba-tiba saya mempunyai banyak masa untuk membaca :)
  5. Mengenalkan saya beberapa penulis tentang kewangan. Dan, salah seorangnya adalah Robert Kiyosaki (Setakat ini saya mempunyai 3 buah bukunya dan buku Cashflow Quadrant beliau telah saya baca sebanyak 4 kali dan saya masih membacanya sehingga kini!)

Senarai tersebut adalah sebahagian terpenting perubahan-perubahan yang telah berlaku ke atas diri saya setelah membaca buku anda. Hanya satu buku yang berharga RM39.90 mampu memberi saya kebahagiaan dan mampu menyelamatkan wang saya dalam jangka masa panjang. Ianya adalah satu pelaburan yang sedikit yang mampu memberi keuntungan yang besar.

Buku anda hingga kini masih menjadi rujukan dan saya masih lagi membacanya. Ada sebahagian yang saya masih belum praktikkan dan sedang memahaminya. Sebahagian tersebut yang saya maksudkan adalah hartanah!

Baiklah, setakat ini sahaja yang saya boleh kongsikan dengan anda. Walaupun ada banyak yang ingin dikongsi dengan anda, saya harus berhenti disini. Saya percaya anda sedang sibuk menguruskan seminar-seminar perihal kewangan anda. Teruskan usaha anda itu kerana saya percaya ramai yang masih lagi gagal dalam pengurusan kewangan peribadi.

Akhir sekali, terima kasih kerana menulis buku “Jutawan Dari Planet Jupiter”. Usaha anda amat saya hargai.

Yang ikhlas,
Farizal Hassan

Kisah Khairul Mat Dom…

Anggaran masa membaca: 4 – 6 minit

Gambar ini diambil ketika penulis sedang menceritakan kisahnya...Gambar ini diambil ketika beliau sedang menceritakan kisahnya…

Saya hendak berkongsi suatu cerita yang begitu normal bagi kebanyakkan orang di muka bumi yang semakin terdedah kepada kerosakan lapisan ozon…

Selepas tamat persekolahan menengah, Khairul Mat Dom (bukan nama sebenar) mendapat tawaran ke universiti tempatan dalam bidang yang diminatinya. Beliau berjaya mendapatkan ijazah dan tidak lama selepas itu beliau mendapat pekerjaan yang diidam-idamkan. Maka, melompat sakan lah Khairul Mat Dom kerana penat lelah ketika belajar di universiti suatu ketika dahulu telah mendatangkan hasil.

Dengan gaji RM2300 sebagai permulaan, bagi Khairul Mat Dom sejumlah wang yang amat besar. Tambahan pula ini adalah gaji pertamanya dan sebelum ini tidak pernah menerima gaji sebanyak itu. Jadi, Khairul memasang angan-angan untuk membeli kereta Myvi warna merah. Pada pendapatnya warna merah nampak ranggi. Tetapi, sebelum beli kereta ada baiknya membeli handphone baru dahulu. Dan, Khairul memang betul-betul membeli handphone Nokia 5800 apabila menerima gaji pertamanya itu. Kata dalam hatinya, “Kalau aku tak beli, nanti duit habis, barang pulak tak nampak. Baik beli daripada gaji habis mcm tu je…”.

Setelah 5 bulan bekerja di syarikat itu, Khairul Mat Dom berjaya menyimpan wang sebanyak RM2000. Wang tersebut adalah untuk merialisasikan impiannya untuk membuat downpayment kereta Myvi merahnya. Dan, pada hujung minggu, ketika itu sedang Khairul Mat Dom berjalan-jalan di Alamanda, Putrajaya; Khairul Mat Dom ternampak promosi kereta-kereta buatan Malaysia yang ketika itu mempromosikan pembelian kereta tanpa downpayment dan bayaran bulanan yang rendah.

Bagi Khairul Mat Dom, ini adalah peluang keplatinuman yang mesti direbut. Memandangkan hari raya puasa bakal menjelang tiba, sekurang-kurangnya ada sebuah kereta untuk memudahkannya untuk balik kampung untuk berhari raya nanti. Jadi, pada pendapatnya jika merebut peluang ini, Khairul Mat Dom tidak perlu mengeluarkan duit simpanannya sebanyak RM2000 sebagai downpayment.

Dan kini, Khairul Mat Dom mempunyai kereta dan setiap bulan perlu memperuntukkan bayaran bulanan sebanyak RM550 selama 9 tahun serta kos perjalanan ke tempat kerja seperti minyak dan tol. Tidak lupa juga stering, sport rim, spoiler dan beberapa alat perhiasan lain yang kononnya boleh melajukan Myvi nya itu. Khairul Mat Dom mengatakan ianya ‘perlu’ bagi menonjolkan keranggian keretanya. Segala pembelanjaan itu adalah menggunakan wang simpanan rm2000 yang sepatutnya untuk membayar downpayment Myvi nya itu.

Apabila berkereta, Khairul Mat Dom mendapat satu idea yang baginya cukup bernas. Idea tersebut adalah kad kredit! Dengan kad kredit, Khairul boleh menggunakannya untuk mengisi minyak kereta. Dengar kadar segera, Khairul Mat Dom bergegas ke bank terdekat untuk memohan kad kredit. Ajaibnya, permohonan itu berjaya dan kini secara rasminya dua kad berwarna perak yang tertera Visa dan Mastercard adalah milik Khairul Mat Dom. Maka, satu ‘episod baru’ telah bermula dalam hidup Khairul Mat Dom.

Setelah setahun setengah bekerja di tempat yang sama, Khairul Mat Dom sudah jatuh cinta dengan seorang awek di tempat kerjanya. Dan mengambil keputusan untuk bercinta dengan serius. Setahun selepas itu, pasangan bercinta itu memutuskan untuk mendirikan rumahtangga.

Segalanya berjalan dengan lancar sejak dari mula tamat persekolahan hinggalah ke alam perkahwinan. Ini kerana setelah berkahwin, sumber pendapatan bulanan yang dahulunya adalah satu kini telah menjadi dua. Seterusnya, mereka pun mengambil keputusan untuk membeli sebuah rumah idaman. Dan, perbelanjaan mereka semakin bertambah. Apabila sudah mempunyai rumah sendiri, mereka berdua perlu membeli segala keperluan seperti sofa, tv, langsir, dan perabot-perabot lain. Ada yang baru dibeli dan ada yang lama dan masih boleh dipakai.

Dan tidak lama selepas itu lahirnya cahaya mata bagi pasangan bahagia tersebut. Taraf hidup semakin meningkat tanpa disedari dan ketika itu juga hutang semakin bertambah. Hutang kad kredit, ansuran bulanan sewa beli kereta, bil elektrik, air, Astro, telefon, Streamyx serta bayaran bulanan gadai janji terbesar yang mereka berdua pernah buat; iaitu rumah!

Disebabkan terlalu banyak komitmen yang perlu diselesaikan setiap bulan, mereka berdua perlu bekerja keras dan mencari pendapatan sampingan. Pada ketika tahap inilah mereka berdua takut akan kehilangan kerja atau tidak ada kerja. Jadi, mereka perlu bekerja lebih kuat untuk memastikan mereka tidak dibuang kerja.

Khairul Mat Dom terperangkap dengan hutang yang membebankan. Disebabkan hutang tersebut, dia tidak mampu untuk menyimpan sebahagian gaji bulanannya. Dan, bagi menyelesaikan masalah kewangannya, Khairul Mat Dom perlu bekerja lebih kuat dengan harapan agar majikannya menaikkan gajinya. Jika majikannya tidak menaikkan gajinya, Khairul Mat Dom akan mencari pekerjaan lain yang gajinya lebih mahal.

Demikianlah cerita Khairul Mat Dom. Adakah dengan kenaikan gaji, atau mencari pekerjaan yang gajinya lebih tinggi mampu menyelesaikan masalah tersebut? Sekiranya anda ada pendapat mengenai kehidupan ‘normal’ ini, sila tinggalkan dibahagian komen.

Apa Jadi Dengan 38 Hari Lepas

Anggaran masa membaca: 2 – 2 minit

Apa Jadi Dengan 38 Hari Lepas?

Genap 38 hari aku tidak berkesempatan mengupdate blog ini :D Segalanya berubah pabila ex-boss aku telefon selepas kembalinya bercuti daripada Pulau Langkawi selama 5 hari. Memandangkan tawaran yang diterima melebihi pendapatan eBay aku, setelah berfikir selama seminggu, aku menerima pekerjaan tersebut :)

Akan tetapi, jawatan itu hanyalah contract selama 6 bulan. Selepas 6 bulan tersebut, aku perlu menimbangkan semula samada ingin meneruskan ataupun tidak. Hati aku dah agak tawar kerja dengan orang. Terngiang-ngiang ayat Robert Kiyosaki kat telinga aku:

Your boss’s job is not to make you rich..!

Dan, salah satu sebab kenapa aku jarang mengupdate blog ini adalah pada masa yang sama aku juga Freelancer. Memandangkan tempoh perkerjaan sepenuh masa aku hanya 6 bulan, aku perlu merancakkan pekerjaan kedua aku ini :) Aku akui yang menjadi freelancer memang lumayan. Jadi, bodohlah aku meninggalkan terus pekerjaan kedua aku ini selepas mendapat pekerjaan sepenuh masa aku. Lagipun tempohnya hanyalah 6 bulan sahaja. Apalah sangat dengan 6 bulan tu…

Agaknya lepas ini aku perlu berkongsi ilmu “Bagaimana Membuat Duit Dengan Freelance” :) Memandangkan kerjaya freelancer aku bermula tahun 2003, rasanya amat banyak ilmu untuk dikongsikan bersama-sama pembaca blog ini.

Oh ya, aku ada freelance yang perlu disiapkan secepat mungkin. Jadi, aku perlu menyambung semula kerja tersebut :)

PS: Akaun eBay aku dilepaskan bulan lepas setelah sebulan disuspended. Panjang ceritanya… Akan aku ceritakan pada pos yang akan datang.

PPS: Awek di atas adalah pembakar semangat ketika aktiviti-aktiviti freelancing. Jangan marahhhh….

Permulaan Revolusi Yang Positif

Anggaran masa membaca: 2 – 2 minit

Permulaan Revolusi Yang Positif

Alhamdulillah… Akhirnya aku berjaya menyiapkan blog ini. Ianya adalah satu permulaan bagi detik 2009. Secara tidak langsung menjadikan blog yang ke-4 aku. Okay, sebagai recap:

  1. Blog pertama berbahasa melayu aku pada tahun 2006 telah menemui ajal disebabkan kecuaian pihak hosting. Aku bengang. Tetapi, aku pendamkan.
  2. Blog ke-2 aku lebih khusus kepada video tutorial seperti Photoshop, Flash & Dreamweaver. Disebabkan masa yang agak terhad, aku abaikan blog tersebut hingga sewa hosting expired.
  3. Blog ke-3, sekali lagi blog tutorial diwujudkan. Kali ini lebih khusus kepada Photoshop. Tujuan utama blog ini diwujudkan adalah cuma sebagai case study dalam SEO. Sekiranya objektif aku tercapai untuk mendapatkan ranking di Google dan Yahoo, aku akan menjualnya. Setelah 5 bulan aku menjaga blog tersebut seperti awek no. 3 aku dahulu, aku berjaya menjual dengan harga RM1,153.11. Not bad!
  4. Dan, blog www.FarizalHassan.com ini adalah yang ke-4. Aku anggapkan blog ini satu revolusi positif untuk aku. Aku juga harapkan, setiap post aku yang seterusnya mampu membawa perubahan positif pada sesiapa yang mengikuti perkembangan blog ini.

Oh ya, aku sekarang ni tengah mengusahakan perniagaan online aku iaitu eBay. Aku akan bercerita tentang apa yang aku usahakan di eBay pada post yang akan datang.

Insyaallah.