Temuramah: Bidang Fotografi Sebagai Pendapatan Tambahan

Anggaran masa membaca: 6 – 10 minit

Temuramah: Bidang Fotografi Sebagai Pendapatan Tambahan

Merujuk Kamus Dwibahasa Oxford Fajar, Freelance membawa maksud seseorang yang menjual perkhidmatan kepada berbagai-bagai majikan. Manakala, Freemason pula memberi maksud satu pertubuhan rahsia.

Okey, kali ini aku ingin berkongsi pengalaman dengan mereka yang ingin menawarkan perkhidmatan bebas atau juga dalam bahasa inggeris-nya adalah ‘Freelancer’. Di bawah ini adalah temubual aku bersama seorang jurufoto bebas. Beliau sudah lama di dalam bidang ini dan mempunyai banyak pengalaman dalam perkhidmatan bebas. Disamping pendapatan yang diraihnya lumayan, beliau tidak kedekut untuk berkongsi pengalamannya dengan pembaca. Ikuti temubual aku bersama beliau:

Soalan: Boleh kau kenalkan diri kau pada pembaca?
Jawapan:
Nama aku Ahmad Rithauddin dan berumur 37 tahun. Di forum pula lebih dikenali sebagai “spirits“. Sekarang ini aku bekerja sebagai video editor & multimedia di sebuah syarikat persendirian IT di Kuala Lumpur.

Soalan: Bagaimana kau boleh melibatkan diri dalam bidang fotografi?
Jawapan: Aku melibatkan diri dalam bidang fotografi ini ketika umur 10 tahun. Ketika itu aku kerap mengikut ayah mengambil gambar ‘property’. Jadi, lepas sahaja SPM, bakat aku diasah oleh ayah untuk mengambil gambar-gambar pemandangan. Aku masih ingat masa itu zaman pakai negatif filem dan segalanya manual. Hinggalah satu ketika melanjutkan pengajian dalam bidang grafik dan animasi, aku sudah mula jarang mengambil gambar.

Aku mula kembali mengambil gambar apabila sudah bekerja dan tugasan model 3D banyak tertumpu pada pembikinan tekstur seperti batu bata, permukaan jalan raya, rumput dan lain-lain. Gambar-gambar tekstur tersebut banyak digunakan untuk memanipulasikan pada grafik dan model 3D. Dari situ aku kembali mengambil gambar yang sebelum ini banyak tertumpu kepada manusia dan ‘property’.

Soalan: Bila kau perasan yang kau ada bakat dalam bidang ini?
Jawapan: Hendak katakan yang aku ini berbakat sangat tu tidak lah… Cuma aku ni jenis suka mencuba dan hendak tahu samada aku betul-betul boleh mengambil gambar orang dengan betul. Disebabkan terlampau minat tentang fotografi, setiap majlis aku akan redah dan buat muka tak malu untuk mengambil gambar. Hinggakan kena marah pun ada. Maklumlah, aku bukannya jurufoto rasmi mereka. Lepas mengambil gambar, aku pergi kedai gambar untuk mencuci dan menikmati hasilnya. Gambar-gambar yang berjaya dirakam itu pula akan dikomen oleh ayah aku. Dari situ aku akan cuba memperbaiki teknik-teknik mengambil gambar. Jadi, sejak itu aku sudah mula suka dengan ‘human shot’. Tidak kiralah apa acara yang diadakan akan aku redah. Siang atau malam tidak jadi penghalang untuk aku terus mengambil gambar.

Soalan: Siapakah idola kau dalam bidang fotografi dan sejauh mana kesannya ke atas foto-foto yang kau ambil?
Jawapan: Di dalam Malaysia, idola aku adalah ayah aku sendiri. Seterusnya adalah Acai, Syahrin Aziz, Hasnuddin Abu Samah, Ted Adnan dan Saiful Nang. Bagi jurufoto di luar negara pula adalah Calvin Hollywood, Jessica Claire dan juga Joey Lawrence.

Dari sudut kreativiti pula, ada beberapa jurufoto yang memang sentiasa aku jadikan mereka ini sebagai rujukan. Dari segi cara mengambil gambar, cara penggunaan cahaya hinggalah penghasilan mengedit gambar. Salah seorang idola aku yang arif tentang cahaya adalah saudara Acai. Beliau memang pakar penata cahaya dan gambar-gambar yang diedit cukup menarik. Seperti juga Alvin Hollywood, Jessica Claire serta Joey Lawrence yang hebat dengan penataan cahaya serta gambar-gambar yang diambil cukup menarik dan setiap penghasilan gambar yang cukup kemas. Dengan adanya mereka ini, sedikit sebanyak dapat membantu aku.

Dan, hingga kini aku masih lagi sedang mempelajari teknik-teknik fotografi yang dihasilkan oleh mereka yang aku sebutkan tadi.

Soalan: Kenapa memilih bidang fotografi sebagai pekerjaan sampingan? Mengapa tidak bidang videografi atau multimedia?
Jawapan: Aku pernah juga buat partime videografi dan multimedia bahkan pernah terlibat dalam pembikinan animasi 3D untuk beberapa pelanggan seperti TNB, Metro Vision, RTM, TV3 dan Astro.

Satu perkara yang membuatkan aku memilih bidang fotografi kerana ia banyak menggunakan ketajaman minda serta kefahaman membaca fizikal seseorang serta beramah mesra dengan pelbagai lapisan masyarakat dan kaum. Dan juga secara tidak langsung dapat berkongsi pendapat dengan mereka yang sama bidang dengan aku. Itulah sebabnya aku lebih senang memilih bidang ini sebagai kerja sampingan. Bukan sahaja dapat menambah duit poket, malah dapat mempelajari teknik-teknik baru dan mencari idea-idea terkini untuk digunakan pada masa akan datang.

Insyallah, kalau ada rezeki aku akan buat perkerjaan ini sebagai sepenuh masa. Tetapi, bukan sekarang lah!

Soalan: Pernahkah mendapat pendidikan secara khusus dalam bidang fotografi?
Jawapan: Ya, pernah. Sehingga kini masih menyertai kursus-kursus yang dianjurkan oleh beberapa badan bukan kerajaan.

Soalan: Boleh kau senaraikan peralatan-peralatan yang kau ada untuk menjalankan pekerjaan ini?
Jawapan:
Ermmm… Peralatan tidaklah sehebat mana pun. Tetapi, kebanyakkan lensa yang aku ada adalah yang bermutu tinggi dalam kelasnya seperti 10-22mm F3.5-4.5 wide lens, 17-55mm F2.8, 24-70mm F2.8, 50mm F1.8 dan 70-200mm L IS F2.8. Aku mempunyai tiga jenis kamera iaitu Canon EOS 40D, Canon EOS 350D dan Nikon D50.

Bagi alatan tambahan pula adalah speedlight, radio remote dan studio light. Tidak semua peralatan dan kamera yang dibawa ke lokasi. Ianya bergantung pada permintaan pelanggan. Sekiranya ada mengambil gambar outdoor, aku akan sediakan 70-200mm untuk di bawa ke lokasi.

Soalan: Pernahkah ditipu oleh pelanggan dan bagaimana kau mengatasinya untuk mengelakkan perkara sebegini berlaku?
Jawapan: Setakat ni alhamdullilah, pelanggan semua bagus. Tetapi, sekiranya berlaku perkara sebegini, aku akan berjumpa dengan mereka terlebih dahulu. Jika cara itu tidak berhasil maka tindakan undang-undang akan diambil. Setiap pelanggan dan jurugambar perlu ada surat perjanjian bagi mengelakkan perkara sebegini berlaku.

Kebiasaannya, wang pendahuluan sebanyak 50% akan diambil. Lagipun, sekiranya mereka tidak membayar baki sebanyak 50%, album dan CD masih ada pada aku. Pelanggan perlu menyelesaikan baki 50% tersebut untuk mendapatkan album dan CD itu.

Soalan: Aku perhatikan yang kau banyak mengambil gambar perkahwinan. Adakah mengambil gambar perkahwinan adalah pilihan utama kau berbanding mengambil gambar model-model untuk majalah. Adakah disebabkan bayarannya yang lebih memberansangkan? Atau ada sebab lain?
Jawapan: Kebanyakan pelanggan yang melayari blog atau laman web aku akan terfikir yang aku ini lebih kepada gambar perkahwinan sahaja. Sebenarnya, ianya bergantung pada permintaan. Ada juga yang aku ambil gambar untuk profil korporat, sambutan hari jadi dan ibu yang sedang mengandung anak pertama. Pada masa yang sama, ada juga yang menghubungi aku untuk mengambil gambar model bagi majalah mereka. Namun, permintaan-permintaan tersebut sukar ditunaikan kerana sebagai jurugambar sambilan, waktu kerja tetap aku adalah dari jam 9 pagi hingga 5.30 petang. Masa aku banyak tertumpu pada kerja sepenuh masa aku.

Soalan: Apa nasihat kau bagi mereka yang ingin menceburi bidang fotografi sebagai freelancing atau jadikan sebagai pekerjaan kedua?
Jawapan: Nasihat aku pada mereka di luar sana yang sukakan kerja begini, ianya bukan satu kerja yang boleh dibuat sambil lewa. Ianya adalah satu nikmat serta kepuasan pada kita sendiri. Dan, perlu diingatkan bahawa bukan sahaja wang, tetapi kualiti juga perlu dititik-beratkan. Bila kita sudah mahir dalam bidang ini, janganlah kita meninggi diri dan bongkak.

Soalan: Mungkin ada pesanan kepada pembaca blog FarizalHassan.com sebagai penutup?
Jawapan: Terima kasih kepada pembaca blog www.FarizalHassan.com kerana sudi membaca temubual ini. Kepada sesiapa yang ingin menghubungi aku bolehlah melayari www.extrumedia.com atau hubungi aku secara terus ditalian 012 330 5858.

Ya, itu lah dia temubual aku bersama Rithaudin daripada Extrumedia. Pada masa akan datang, aku akan menemubual lebih ramai lagi dengan mereka yang bijak mencari wang dengan melakukan sesuatu yang mereka taksub. Kemungkinan para pembaca boleh menjadikan cerita-cerita mereka sebagai panduan dan secara tidak langsung dapat mengenalpasti peluang yang ada di depan mata.

PS: Pos kali ini tidak ada sangkut paut langsung dengan Freemason. Pembuka kata tadi hanyalah perbandingan semata-mata dan tidak lebih daripada itu. Tetapi, perlu diingatkan bahawa Freemason adalah satu pertubuhan rahsia yang amat merbahaya kepada kita semua.

PPS: Pos kali ini agak panjang. Ini perkara biasa bagi sesebuah artikel berkonsep temubual :) Diharapkan pos kali ini dapat memberikan anda satu input yang baru.