Dana Kecemasan Ketika Berhari Raya
Anggaran masa membaca: 4 – 6 minit

Agak lama juga aku tidak membuat sebarang pos pada blog ini; Daripada hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-52 hinggalah pada Hari Raya Aidilfitri yang kita sambut sepanjang 21 Syawal ini. Ini membawa maksud kita masih lagi mempunyai baki 9 hari lagi untuk ber-Hari Raya
Hari Raya pada tahun ini sama seperti pada Hari Raya dua tahun yang lepas. Pada Hari Raya dua tahun yang lepas, aku terpaksa mengeluarkan rm1000 untuk menukarkan gear box Kancil 850 aku yang sudahpun rosak 5 bulan sebelumnya. Walaupun sudah rosak agak lama, aku masih menangguhkan untuk membaiki gear box tersebut. Ini kerana sumber kewangan yang amat terhad. Sungguh ironik sekali!
Ketika itu, aku masih lagi tidak mempunyai dana kecemasan. Dengan sumber kewangan yang terhad, dan hanya berbekalkan gaji pada bulan itu, aku gagahkan juga untuk mengeluarkan rm1000 untuk membaiki kereta. Bayangkan, lagi seminggu untuk berhari raya dan rm1000 pula habis ke kereta.
Pada tahun ini, Hari Raya Aidilfitri aku seperti juga pada dua tahun yang lepas – kereta Kancil aku meragam kembali. Tetapi, kali ini ragaman yang dibuat lebih parah! Kerosakan pertama terjadi ketika pulang daripada kerja dan pada hari yang sama juga aku merancang pulang ke kampung untuk berbuka puasa bersama-sama keluarga.
Seminggu lepas itu pula, beberapa komponen-komponen penting pada enjin mula buat hal. Disamping itu pula, ke empat-empat tayar juga perlu ditukar. Kos pembaikan semua mencecah rm2000.
Pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini berjalan dengan meriah sekali
Aku dulu adalah bukan aku pada dua tahun lepas. Berbekalkan pembacaan buku-buku hal ehwal kewangan memang membuahkan hasil. Dana kecemasan yang aku wujudkan memang membantu aku apabila terjadinya hal-hal yang boleh mencemaskan sesetengah pihak. Makin cemas lagi bila waktu kecemasan tersebut bergantung sepenuhnya pada kad kredit.
Ya, inilah gunanya dana kecemasan. Dana kecemasan adalah amat penting dan tahap kepentingannya sama seperti seorang pemain bola sepak yang memerlukan sebiji bola ketika di padang (Aku tidak maksudkan kepada pemain-pemain yang terlibat dalam isu rasuah dan juga jual beli permainan!). Apa yang diceritakan tadi adalah satu situasi yang kita tidak sangkakan. Ianya boleh terjadi pada kebanyakkan orang yang sedang bernyawa. Jadi, perkara ini tidak boleh dipandang mudah.
Kita semua perlukan satu dana yang khusus hanya diperuntukkan pada satu tujuan iaitu sejumlah wang tunai yang boleh digunakan waktu kecemasan. Dalam erti kata lain, wang tunai tersebut mampu menyelesaikan masalah tersebut dengan pantas.
“Eleh, kad kredit pun boleh selesaikan masalah dengan pantas bila terjadinya kecemasan. Apa nak kecoh-kecoh…!”, Khairul Mat Dom mula mempertahankan kad kredit emasnya.
“Ye lah, memang kad kredit boleh selesaikan masalah tu dengan cepat. Tapi, itu hutang dan bukannya tunai… Bila kita ada duit tunai, buat apa nak berhutang!”, balas aku sambil tengok video-video di YouTube.
Kebiasaannya, dana kecemasan memerlukan sejumlah simpanan sebanyak 3 bulan gaji ataupun 6 bulan gaji. Itu adalah satu tanda aras bagi pendapat para bijaksana dalam perancang kewangan peribadi yang bertauliah.
Pada pendapat aku yang tidak bertauliah oleh mana-mana pihak, hanya berbekalkan pengalaman-pengalaman lepas, dana kecemasan yang aku wujudkan adalah berdasarkan jumlah perbelanjaan bulanan yang ditanggung selama 3 bulan. Yang dimaksudkan perbelanjaan bulanan yang ditanggung adalah seperti:
- Ansuran pinjaman perumahan
- Ansuran pinjaman kereta
- Pinjaman peribadi
- Insurans
- Perbelanjaan isi rumah
- Segala bil elektrik, air, Astro
- Minyak kenderaan
Sekiranya terjadi pada aku seperti kehilangan kerja dengan tiba-tiba, wang tersebut mampu menyara aku sekeluarga selama 3 bulan sementara mendapat pekerjaan baru.
Sebenarnya, dana kecemasan tidak pernah cukup dan memerlukan simpanan berterusan. Walaupun dana kecemasan sudah mencukupi untuk menanggung kehidupan anda selama 3 bulan, simpanan berterusan perlu terus dilakukan sebagai persiapan sekiranya terjadi hal-hal yang tidak diingini seperti kenderaan rosak atau apa-apa kejadian yang boleh mengganggu kehidupan seharian.
Sebagai contoh, telah aku berikan dua situasi yang diambil daripada pengalaman peribadi aku sendiri. Situasi pertama adalah bagaimana keadaan aku menguruskan waktu getir tanpa dana kecemasan. Dan, satu lagi situasi dimana aku berjaya menyelesaikan masalah kecemasan dengan hati yang lapang. Dua situasi yang jauh bezanya dan ianya pernah terjadi pada aku.
Sekiranya seseorang itu tiada dana kecemasan secara tunai, aku cadangkan ianya harus bermula menyimpan dengan serta merta. Bukan esok, minggu depan atau hujung bulan. Tetapi sekarang! Apabila dana kecemasan anda sudah capai satu tanda aras yang sudah ditetapkan, anda akan faham erti tidur lena
PS: Pertolongan pertama yang sampai di Padang, Jawa Barat Indonesia adalah dari Malaysia. Tetapi, fitnah terus dilemparkan kepada Malaysia. Apa-apapun, syabas kepada rakyat Malaysia yang pemurah dan bersifat profesional.
PPS: Kepada sesiapa yang belum menyumbang apa-apa kepada mangsa gempa bumi, sila lah bermurah hati memberikan apa jua pertolongan yang dirasakan mampu.
PPS: Sebentar tadi aku diberi peluang untuk memandu uji Honda City model 2009 di Puchong. Jauh beza dari Kancil 850. Terima kasih di atas layanan baik anda, Mr. Gary!




Gambar ini diambil ketika beliau sedang menceritakan kisahnya…
Komen Pembaca