Kisah Khairul Mat Dom…
Anggaran masa membaca: 4 – 6 minit
Gambar ini diambil ketika beliau sedang menceritakan kisahnya…
Saya hendak berkongsi suatu cerita yang begitu normal bagi kebanyakkan orang di muka bumi yang semakin terdedah kepada kerosakan lapisan ozon…
Selepas tamat persekolahan menengah, Khairul Mat Dom (bukan nama sebenar) mendapat tawaran ke universiti tempatan dalam bidang yang diminatinya. Beliau berjaya mendapatkan ijazah dan tidak lama selepas itu beliau mendapat pekerjaan yang diidam-idamkan. Maka, melompat sakan lah Khairul Mat Dom kerana penat lelah ketika belajar di universiti suatu ketika dahulu telah mendatangkan hasil.
Dengan gaji RM2300 sebagai permulaan, bagi Khairul Mat Dom sejumlah wang yang amat besar. Tambahan pula ini adalah gaji pertamanya dan sebelum ini tidak pernah menerima gaji sebanyak itu. Jadi, Khairul memasang angan-angan untuk membeli kereta Myvi warna merah. Pada pendapatnya warna merah nampak ranggi. Tetapi, sebelum beli kereta ada baiknya membeli handphone baru dahulu. Dan, Khairul memang betul-betul membeli handphone Nokia 5800 apabila menerima gaji pertamanya itu. Kata dalam hatinya, “Kalau aku tak beli, nanti duit habis, barang pulak tak nampak. Baik beli daripada gaji habis mcm tu je…”.
Setelah 5 bulan bekerja di syarikat itu, Khairul Mat Dom berjaya menyimpan wang sebanyak RM2000. Wang tersebut adalah untuk merialisasikan impiannya untuk membuat downpayment kereta Myvi merahnya. Dan, pada hujung minggu, ketika itu sedang Khairul Mat Dom berjalan-jalan di Alamanda, Putrajaya; Khairul Mat Dom ternampak promosi kereta-kereta buatan Malaysia yang ketika itu mempromosikan pembelian kereta tanpa downpayment dan bayaran bulanan yang rendah.
Bagi Khairul Mat Dom, ini adalah peluang keplatinuman yang mesti direbut. Memandangkan hari raya puasa bakal menjelang tiba, sekurang-kurangnya ada sebuah kereta untuk memudahkannya untuk balik kampung untuk berhari raya nanti. Jadi, pada pendapatnya jika merebut peluang ini, Khairul Mat Dom tidak perlu mengeluarkan duit simpanannya sebanyak RM2000 sebagai downpayment.
Dan kini, Khairul Mat Dom mempunyai kereta dan setiap bulan perlu memperuntukkan bayaran bulanan sebanyak RM550 selama 9 tahun serta kos perjalanan ke tempat kerja seperti minyak dan tol. Tidak lupa juga stering, sport rim, spoiler dan beberapa alat perhiasan lain yang kononnya boleh melajukan Myvi nya itu. Khairul Mat Dom mengatakan ianya ‘perlu’ bagi menonjolkan keranggian keretanya. Segala pembelanjaan itu adalah menggunakan wang simpanan rm2000 yang sepatutnya untuk membayar downpayment Myvi nya itu.
Apabila berkereta, Khairul Mat Dom mendapat satu idea yang baginya cukup bernas. Idea tersebut adalah kad kredit! Dengan kad kredit, Khairul boleh menggunakannya untuk mengisi minyak kereta. Dengar kadar segera, Khairul Mat Dom bergegas ke bank terdekat untuk memohan kad kredit. Ajaibnya, permohonan itu berjaya dan kini secara rasminya dua kad berwarna perak yang tertera Visa dan Mastercard adalah milik Khairul Mat Dom. Maka, satu ‘episod baru’ telah bermula dalam hidup Khairul Mat Dom.
Setelah setahun setengah bekerja di tempat yang sama, Khairul Mat Dom sudah jatuh cinta dengan seorang awek di tempat kerjanya. Dan mengambil keputusan untuk bercinta dengan serius. Setahun selepas itu, pasangan bercinta itu memutuskan untuk mendirikan rumahtangga.
Segalanya berjalan dengan lancar sejak dari mula tamat persekolahan hinggalah ke alam perkahwinan. Ini kerana setelah berkahwin, sumber pendapatan bulanan yang dahulunya adalah satu kini telah menjadi dua. Seterusnya, mereka pun mengambil keputusan untuk membeli sebuah rumah idaman. Dan, perbelanjaan mereka semakin bertambah. Apabila sudah mempunyai rumah sendiri, mereka berdua perlu membeli segala keperluan seperti sofa, tv, langsir, dan perabot-perabot lain. Ada yang baru dibeli dan ada yang lama dan masih boleh dipakai.
Dan tidak lama selepas itu lahirnya cahaya mata bagi pasangan bahagia tersebut. Taraf hidup semakin meningkat tanpa disedari dan ketika itu juga hutang semakin bertambah. Hutang kad kredit, ansuran bulanan sewa beli kereta, bil elektrik, air, Astro, telefon, Streamyx serta bayaran bulanan gadai janji terbesar yang mereka berdua pernah buat; iaitu rumah!
Disebabkan terlalu banyak komitmen yang perlu diselesaikan setiap bulan, mereka berdua perlu bekerja keras dan mencari pendapatan sampingan. Pada ketika tahap inilah mereka berdua takut akan kehilangan kerja atau tidak ada kerja. Jadi, mereka perlu bekerja lebih kuat untuk memastikan mereka tidak dibuang kerja.
Khairul Mat Dom terperangkap dengan hutang yang membebankan. Disebabkan hutang tersebut, dia tidak mampu untuk menyimpan sebahagian gaji bulanannya. Dan, bagi menyelesaikan masalah kewangannya, Khairul Mat Dom perlu bekerja lebih kuat dengan harapan agar majikannya menaikkan gajinya. Jika majikannya tidak menaikkan gajinya, Khairul Mat Dom akan mencari pekerjaan lain yang gajinya lebih mahal.
Demikianlah cerita Khairul Mat Dom. Adakah dengan kenaikan gaji, atau mencari pekerjaan yang gajinya lebih tinggi mampu menyelesaikan masalah tersebut? Sekiranya anda ada pendapat mengenai kehidupan ‘normal’ ini, sila tinggalkan dibahagian komen.


Komen Pembaca