Archive for 'Buku / eBook'

Ulasan Buku Bajet Wang – Cara Untuk Mengatasi Masalah Kekurangan Wang

Anggaran masa membaca: 4 – 7 minit

Bajet Wang

Kali ini aku ingin berkongsi ulasan mengenai sebuah buku yang berjudul “Bajet Wang – Cara Untuk Mengatasi Masalah Kekurangan Wang” oleh Khairulnahar Jamaluddin. Sebelum ini aku tidak pernah dengar mengenai penulis ini hinggalah pada dua bulan lepas aku membaca hasil penulisan beliau iaitu ebook Wang Gaji. Kandungan ebook tersebut membuatkan aku terpanggil untuk membaca buku beliau yang seterusnya :)

Sebelum aku mengulas buku “Bajet Wang – Cara Untuk Mengatasi Masalah Kekurangan Wang”, ingin aku menyentuh sedikit ebook Wang Gaji yang aku nyatakan tadi. Tahap pemahaman aku tentang kewangan peribadi amatlah rendah dan sedikit. Jadi, sedikit sebanyak ebook Wang Gaji itu dapat membantu aku lebih memahami bagaimana untuk menguruskan gaji bulanan yang aku terima setiap bulan. Walaupun sebelum ini aku berkemampuan untuk menyimpan sedikit daripada gaji aku, itu tidak bermakna tahap pemahaman aku sudah sama hebat seperti Robert Kiyosaki atau pun sehebat bekas penyanyi Helloween iaitu Michael Kiske.

Boleh aku katakan yang aku sentiasa perlukan panduan bagi memastikan tahap kewangan aku dalam keadaan terkawal. Jadi, ebook Wang Gaji ini dapat membantu aku. Oh ya, Kalkulator Belanjawan yang diberikan sebagai bonus amat membantu aku bagi memastikan gaji yang aku terima setiap bulan dalam keadaan terkawal.

Okey, tutup cerita Wang Gaji dan kembali kepada topik asal iaitu “Bajet Wang – Cara Untuk Mengatasi Masalah Kekurangan Wang”. Buku ini diterbitkan oleh Truewealth Publishing iaitu sebuah syarikat kepunyaan Azizi Ali.

Buku ini boleh aku katakan sebagai ‘turutan’ daripada buku Azizi Ali iaitu “Jutawan Dari Planet Jupiter”. Mengapa aku katakan ‘turutan’? Ini kerana buku “Jutawan Dari Planet Jupiter” adalah lebih kepada pencucian minda serta meliputi perihal kewangan secara menyeluruh; Dan anda boleh menangis apabila mengenangkan kezaliman yang telah dilakukan ke atas wang anda sendiri ketika membacanya. Manakala buku “Bajet Wang – Cara Untuk Mengatasi Masalah Kekurangan Wang” pula hanya fokus kepada 7 cara untuk mengatasi masalah kekurangan wang.

Melalui buku ini, anda boleh belajar:

  1. Cara untuk mengenal pasti tahap kedudukan kewangan semasa anda.
  2. Cara bagaimana mengesan tabiat perbelanjaan samada baik ataupun tidak.
  3. Membuat perancangan kewangan peribadi agar tidak sentiasa komplen wang tidak cukup.
  4. Cara memenuhi keperluan dan nafsu serakah ke arah liabiliti seperti barang-barang yang anda idam-idamkan tanpa perlu berhutang atau membuat pinjaman.
  5. Cara untuk menjadi jutawan dengan menggunakan kuasa masa.
  6. Belajar bagaimana mengira kadar faedah yang dikenakan oleh bank.
  7. Menghapuskan hutang dan berhenti daripada tabiat berhutang.
  8. Mengenalpasti pembohongan dan penipuan Skim Cepat Kaya.

Kalau hendak memahirkan ke lapan-lapan perkara yang disebutkan tadi dalam waktu 31 hari memang boleh memberi kekejangan saraf pituitari pada otak kita. Silap-silap boleh memberi kesan yang buruk kepada fotosistesis! Aku sebenarnya lebih tumpukan kepada tabiat perbelanjaan, perancangan kewangan peribadi dalam keadaan terkawal serta memastikan kadar faedah yang dikenakan oleh bank tidak membebankan. Itu sahaja. Aku hanya memberi tumpuan kepada apa yang diperlukan sekarang ini. Yang selebihnya, kemudian cerita.

Sekiranya anda menghadapi masalah kewangan ketika ini, diharapkan janganlah tergopoh-gopoh untuk menghabiskan satu buku dalam masa 24 jam. Berikan sedikit ruang pada diri anda untuk menilai mana satu topik yang anda perlu dahulukan. Masalah kewangan bukan dapat diselesaikan dalam waktu yang singkat. Sebagai contoh, aku mula menyelesaikan masalah kewangan pada tahun 2006 dan memperolehi kesan positif pada pertengahan tahun 2007. Ianya mengambil masa sebanyak 47 335 389 saat!

Walaubagaimanapun, ianya bergantung sejauh mana kuatnya semangat anda. Sekiranya semangat anda mempunyai antibodi yang kuat, kemungkinan masalah kewangan anda dapat diselesaikan dalam masa 23 667 694.5 saat sahaja.

Oh ya, dalam buku ini terlampau banyak tanda seruan pada penghujung ayatnya. Kemungkinan penulis ingin mengejutkan pembaca yang boros dalam berbelanja. Jadi, sekiranya anda mempunyai masalah kewangan dan masih tidak sedar-sedar anda sedang menghadapi masalah kewangan, pastikan anda tidak membaca sambil meminum kopi atau milo. Ini boleh membuatkan anda sentiasa tersedak ketika membaca dan mengakibatkan baju anda yang berjenama ‘Ermenegildo Zegna’ mengalami kekotoran yang amat dahsyat!

PS: Penularan H1N1 makin serius dengan kadar kematian semakin meningkat. Sekarang ini bukan waktunya untuk kita mempamerkan kejelitaan atau kehenseman di khalayak ramai. Pakai topeng untuk keselamatan.

PPS: Aku sedang mengkonsistenkan pos-pos pada blog ini. Menulis artikel bukanlah mudah seperti menghabiskan wang untuk membeli barang-barang yang tidak berfaedah. Sekiranya anda sentiasa menantikan pos-pos aku ini, berikan aku semangat dengan meninggalkan komen-komen yang disediakan di bawah :D

PPPS: Terima kasih kepada pembaca-pembaca baru dan pembaca-pembaca yang setia :)

FWD: Surat Terbuka Untuk Azizi Ali

Anggaran masa membaca: 3 – 4 minit

FWD: Surat Untuk Azizi Ali

Kehadapan Encik Azizi Ali,

Saya menaip warkah digital ini secara terbuka berkenaan buku yang berjudul “Jutawan Dari Planet Jupiter” yang berjaya mengubah hidup saya dan kini sedang menikmati kebahagiaan bersama keluarga tersayang.

Saya amat berterima kasih kepada anda selaku penulis buku “Jutawan Dari Planet Jupiter” yang berjaya mengubah kegilaan saya suatu ketika dahulu yang amat pakar bagi menghabiskan wang dalam waktu yang singkat. Poket saya adalah suatu tempat persinggahan bagi pendapatan bulanan saya dimana sebahagian besarnya adalah untuk membayar tunggakan kad kredit, sewa beli bulanan kereta dan membeli belah barangan yang berjenama.

Istilah-istilah dalam dunia kewangan peribadi seperti dana kecemasan, simpanan bulanan secara tetap, aliran tunai, pelan perbelanjaan dan beberapa istilah lain yang terkandung dalam buku tersebut adalah amat asing suatu ketika dahulu. Istilahnya seolah-olah sedang membaca buku sains, astronomi atau puisi Cleopatra.

Buku “Jutawan Dari Planet Jupiter” tersebut saya dapati ketika sedang memikirkan bagaimana untuk mencari duit lebih untuk membayar hutang tertunggak kad kredit. Kepercayaan saya ketika itu adalah saya perlu bekerja keras untuk mendapatkan wang lebih setiap bulan. Dan, kepercayaan saya juga ketika itu adalah tiada siapa yang mampu menyelesaikan masalah saya dan tiada satu buku apa pun yang mampu mengubah hidup saya. Itu adalah kepercayaan saya suatu ketika dahulu.

Setelah membaca berulang-ulang kali buku “Jutawan Dari Planet Jupiter”, saya makin memahami apa yang anda cuba sampaikan. Walaupun kata-kata yang disampaikan itu cukup pedas (siapa makan cili, dia lah yang terasa pedasnya), saya tetap menelan cili tersebut satu persatu. Saya mempunyai satu nekad, iaitu saya perlu lakukan perubahan yang besar dalam sejarah hidup saya. Dan, ianya perlu dilakukan serta merta! Walaupun perit, ia perlu dilakukan.

Saya rasa anda sebagai penulis buku ingin mengetahui apakah perubahan yang terjadi keatas diri saya. Baiklah, saya senaraikan sebahagian yang terpenting perubahan-perubahan tersebut di bawah:

  1. Menyelesaikan kad kredit (Inilah matlamat utama saya membeli buku anda!)
  2. Menyelesaikan beberapa hutang yang betul-betul tertunggak
  3. Mempunyai simpanan secara tetap setiap bulan sebanyak 26% daripada pendapatan bulanan yang dimana sebelumnya saya tidak pernah menyimpan wang
  4. Memberi satu hobi baru iaitu membaca segala buku yang melibatkan wang yang dahulunya saya tidak ada masa untuk membaca buku. Tetapi, kini agak pelik tiba-tiba saya mempunyai banyak masa untuk membaca :)
  5. Mengenalkan saya beberapa penulis tentang kewangan. Dan, salah seorangnya adalah Robert Kiyosaki (Setakat ini saya mempunyai 3 buah bukunya dan buku Cashflow Quadrant beliau telah saya baca sebanyak 4 kali dan saya masih membacanya sehingga kini!)

Senarai tersebut adalah sebahagian terpenting perubahan-perubahan yang telah berlaku ke atas diri saya setelah membaca buku anda. Hanya satu buku yang berharga RM39.90 mampu memberi saya kebahagiaan dan mampu menyelamatkan wang saya dalam jangka masa panjang. Ianya adalah satu pelaburan yang sedikit yang mampu memberi keuntungan yang besar.

Buku anda hingga kini masih menjadi rujukan dan saya masih lagi membacanya. Ada sebahagian yang saya masih belum praktikkan dan sedang memahaminya. Sebahagian tersebut yang saya maksudkan adalah hartanah!

Baiklah, setakat ini sahaja yang saya boleh kongsikan dengan anda. Walaupun ada banyak yang ingin dikongsi dengan anda, saya harus berhenti disini. Saya percaya anda sedang sibuk menguruskan seminar-seminar perihal kewangan anda. Teruskan usaha anda itu kerana saya percaya ramai yang masih lagi gagal dalam pengurusan kewangan peribadi.

Akhir sekali, terima kasih kerana menulis buku “Jutawan Dari Planet Jupiter”. Usaha anda amat saya hargai.

Yang ikhlas,
Farizal Hassan

Gara-Gara Kad Kredit VISA dan MASTERCARD

Anggaran masa membaca: 2 – 3 minit

Gara-gara kad kredit Visa dan Mastercard

Mengimbas kembali sekitar tahun 2002 hingga 2006, aku seakan-akan fobia dengan apa-apa jenis kad yg mempunyai lambing VISA dan MASTERCARD. Hinggakan deringan telefon polyphonic sekalipun membuatkan aku hampir mengelupur.

Segalanya adalah akibat berhutang dengan dua syarikat kad kredit pada tahap maksima. Sepanjang tempoh tersebut, bank-bank tersebut akan membuat panggilan bertanyakan bila aku akan membuat bayaran minima. Kebiasaannya, aku tidak mampu lagi untuk membuat bayaran minima pada kedua-dua kad tersebut. Hinggakan pada satu tahap, agensi guaman yang dilantik oleh bank-bank tersebut akan mengambil alih bagi setiap panggilan telefon yang akan dibuat. Ini memberikan lagi satu tekanan yang amat dahsyat…

Ianya seakan-akan zaman kegelapan aku seperti runtuhnya Kekaisaran Romawi dan Renaisans…

Hah, itu semua cerita dulu dan telah pun menjadi sejarah paling berguna dalam hidup aku :) Sekarang ni aku bebas daripada hutang-hutang lapuk dan sedang hidup bahagia bersama-sama keluarga tersayang.

Bagaimana aku mampu bebas daripada masalah kewangan yang serius? Ini semua gara-gara buku Azizi Ali yang berjudul “Jutawan Dari Planet Jupiter” yang aku baca pada awal tahun 2006. Buku inilah yang bertanggungjawab di atas kejayaan bagi mengubah tabiat aku yang amat boros suatu ketika dahulu. Daripada buku itu jugalah bermulanya tranformasi mentaliti mengenai kewangan peribadi dan pelbagai buku mengenai kewangan aku baca setiap bulan.

Setiap kali orang merungut bahawa hidup mereka bergelumang dengan hutang tertunggak yang melampau; Maka, aku akan cadangkan golongan ini membaca buku Azizi Ali. Rata-ratanya menolak seakan-akan sudah putus asa. Dan, amat sedikit yang menerima usulan aku untuk melabur RM39.95 sebagai modal permulaan bagi mendapatkan buku tersebut.

Dan, ada di antara mereka yang berkata pada aku, “Isteri kau kerja kerajaan dan banyak keistimewaan yang korang perolehi!”.

Hey, apa sangkut paut isteri aku dalam hal kewangan peribadi aku suatu ketika dahulu? Sekiranya isteri aku bekerja dengan kerajaan Amerika Syarikat sekalipun, ianya adalah cuma satu bonus dan bukan penyebab atau penyumbang utama aku dalam bebas kewangan. Jadi, tiada sebab isteri aku mendapat nama dalam kejayaan besar aku :D Isteri aku cuma memberi galakan dan dorongan dan tidak lebih dari itu.

Ini adalah kejayaan yang paling besar dalam pencapaian aku dalam hal kewangan peribadi sepanjang hidup aku. Sekarang ini, aku tiada hutang yang melampau dan berupaya membuat simpanan 4 angka setiap bulan daripada gaji bulanan :) .

Indahnya hidup ini tanpa hutang…

PS: Aku tidak dibayar oleh Azizi Ali ketika mencadangkan supaya membaca buku “Jutawan Dari Planet Jupiter”. Cadangan tersebut adalah ikhlas dan tiada agenda-agenda yang tersembunyi :)

Rahsia Buat Duit Dengan eBay

Anggaran masa membaca: 2 – 4 minit

Rahsia Buat Duit Dengan eBay

Hari Sabtu baru-baru ini sekali lagi percubaan terbaru aku ke MPH Alamanda untuk mencari buku Azahar Abdul Rahman yang bertajuk “Rahsia Buat Duit Dengan eBay”. Ntah yang ke berapa kali aku ke MPH Alamanda untuk membeli buku tersebut, aku pun dah tak ingat. Apa yang aku ingat dengan jawapan pekerja-pekerja MPH adalah tiada stok.

Akhirnya aku cuba Google tajuk buku tersebut dan seterusnya membawa aku ke laman web e-commerce http://www.bookcafe.com.my. Tanpa berlengah, aku terus mencari buku “Rahsia Buat Duit Dengan eBay” dan aku dapati buku tersebut ada dalam stok. Apa lagi, aku terus beli lah :D

Di bawah adalah maklumat pesanan tersebut:

Kaedah pembayaran: Maybank2u.com (Maybank2u.com)
Penghantaran: Pos Malaysia – Pos Laju
Subtotal: RM22.00
Kos penghantaran: RM6.50
Diskaun: RM3.00
Taxes: Pos Laju – Surcaj + Cukai Kerajaan 25% (123456) RM1.63
Jumlah: RM30.13

Aku harapkan kos penghantaran adalah percuma. Tetapi, tak mengapa lah… Aku anggap yang buku ini kategori rare :p Bayar lebih sikit pun tak mengapa. Berkenaan cukai sebanyak RM1.63 tu aku tak pasti. Aku beli buku secara online di http://www.millionairesplanet.com pun tak ada pula kena apa-apa cukai. Malah, kos penghantaran juga percuma.

Sebenarnya, aku sudah membaca buku tersebut di Google Book Search. Memandangkan buku ini bagus untuk rujukan serta dapat memenuhkan perpustakaan mini aku, aku rasa buku ini berbaloi untuk dibeli.

Aku sarankan kepada sesiapa yang mahu mempelajari asas eBay, dapatkan lah buku ini. Harga di kedai-kedai buku adalah RM25.00 sahaja. Akan tetapi, sekiranya anda berasa was-was dengan mutu penyampaian buku tersebut, anda boleh membacanya di Google Book Search untuk menilaikannya sendiri. Sekiranya menepati citarasa anda, maka beli lah di http://www.bookcafe.com.my ataupun di kedai-kedai buku berhampiran.