Archive by Author

Aku Seorang Ekstremis…

Anggaran masa membaca: 3 – 4 minit

Aku Seorang Ekstremis

Apa khabar pembaca-pembaca blog FarizalHassan.com semua sepanjang tahun ini. Pada tahun 2010 ini aku menjadi seorang yang amat sibuk secara tiba-tiba dan tiada masa yang aku peruntukkan langsung untuk mengemaskinikan blog ini. Jadi, maafkan lah aku seadanya…

Sepanjang tahun 2010 ini, tanpa aku sendiri sedari, aku menjadi seorang ekstremis. Dengan ekstremnya, aku melakukan perkara-perkara yang dapat meningkatkan tahap hidup aku dengan lebih positif. Dengan sasaran matlamat baru untuk tahun 2011, aku nekad untuk menjadi seekor kuda lumba Sport Toto yang matanya hanya boleh memandang ke hadapan sahaja. Tanpa peduli kiri dan kanan.

Dalam beberapa buku yang telah aku baca, ada bercakap mengenai perkara yang sama. Cuma gaya penyampaiannya sahaja berbeza. Iaitu:

“Perlu menjadi seorang yang ekstremis untuk berjaya dalam setiap perkara.”

Kita perlu menjadi seorang yang cukup ekstrem dan taksub ke atas setiap matlamat yang kita sasarkan bagi memastikan ianya dicapai. Kita tidak boleh menetapkan matlamat ingin menjadi perdana menteri Afrika kalau perilaku dan mentaliti kita masih melakukan perkara harian yang sama seperti bermain PS3 sampai subuh, main snooker sampai lupa kelurga dan minum segelas teh tarik di restoran mamak selama 2 jam. Bukan nak jadi perdana menteri Afrika je pun tidak boleh, nak kerja kerani pun tak dapat.

Untuk mencapai matlamat yang disasarkan, anda perlu meninggalkan apa yang anda lakukan sekarang. Maksud aku, bukannya aku suruh tinggalkan blog ini – Tetapi, tinggalkan perkara-perkara yang langsung tidak ada sangkut paut dengan matlamat yang anda sasarkan. Sekiranya anda mempunyai rakan yang sentiasa memperlekehkan anda, tinggalkan sahaja beliau. Bukannya putus sahabat, tetapi sekiranya terjumpa kat mana-mana, tegurlah rakan anda itu seperti biasa dan sekali sekala jumpa untuk bersembang. Dalam erti kata lain, bataskan perbualan dan masa anda sahaja.

Menjadi ekstremis yang positif memang agak sukar bagi sesetengah orang seperti perokok. Seringkali gagal berhenti merokok pasal rakan-rakan perokok tegar sentiasa disekelilingnya. Disebabkan ini, jangan salahkan rakan anda itu, tetapi salahkan diri sendiri kerana ke-ekstrem-an dalam diri tidak cukup hebat. Baru offer rokok sebatang, dah lupa matlamat untuk berhenti merokok.

Begitu juga dengan masalah kad kredit yang tertunggak. Sekiranya sifat ekstrem dalam diri tidak cukup kuat, matlamat untuk melangsaikan hutang-hutang tertunggak kad kredit juga gagal.

Ini belum masuk cerita kaki todi dan judi…

Matlamat setiap orang adakalanya sama. Akan tetapi, bagaimana cara ianya dilakukan untuk mencapai matlamat masing-masing adalah berbeza. Suasana sekelilingnya juga kemungkinan besar jauh bezanya. Seperti apa yang aku lalui, adakalanya ada di antara rakan-rakan aku ini memerli dan mempersenda setiap keputusan yang aku buat. Apa yang aku lakukan hanyalah diam, senyum dan buat-buat tak paham. Aku tidak-tidak sesekali cuba buat mereka faham kerana ianya bukan sehari punya kerja.

Sekiranya anda mempunyai matlamat dan matlamat itu dapat meningkatkan taraf hidup anda sekeluarga, berbaloi untuk anda menjadi seorang ekstremis. Pengorbanan yang bakal anda lakukan dan perjalanan yang akan ditempuhi akan dibayar dengan setimpal.

PS: Artikel kali ini agak ringkas agar anda boleh lihat kembali sasaran matlamat anda dan renung-renungkan sepanjang usaha pada hari-hari yang lepas adalah setanding dengan matlamat anda atau tidak :)

Temuramah: Bidang Fotografi Sebagai Pendapatan Tambahan

Anggaran masa membaca: 6 – 10 minit

Temuramah: Bidang Fotografi Sebagai Pendapatan Tambahan

Merujuk Kamus Dwibahasa Oxford Fajar, Freelance membawa maksud seseorang yang menjual perkhidmatan kepada berbagai-bagai majikan. Manakala, Freemason pula memberi maksud satu pertubuhan rahsia.

Okey, kali ini aku ingin berkongsi pengalaman dengan mereka yang ingin menawarkan perkhidmatan bebas atau juga dalam bahasa inggeris-nya adalah ‘Freelancer’. Di bawah ini adalah temubual aku bersama seorang jurufoto bebas. Beliau sudah lama di dalam bidang ini dan mempunyai banyak pengalaman dalam perkhidmatan bebas. Disamping pendapatan yang diraihnya lumayan, beliau tidak kedekut untuk berkongsi pengalamannya dengan pembaca. Ikuti temubual aku bersama beliau:

Soalan: Boleh kau kenalkan diri kau pada pembaca?
Jawapan:
Nama aku Ahmad Rithauddin dan berumur 37 tahun. Di forum pula lebih dikenali sebagai “spirits“. Sekarang ini aku bekerja sebagai video editor & multimedia di sebuah syarikat persendirian IT di Kuala Lumpur.

Soalan: Bagaimana kau boleh melibatkan diri dalam bidang fotografi?
Jawapan: Aku melibatkan diri dalam bidang fotografi ini ketika umur 10 tahun. Ketika itu aku kerap mengikut ayah mengambil gambar ‘property’. Jadi, lepas sahaja SPM, bakat aku diasah oleh ayah untuk mengambil gambar-gambar pemandangan. Aku masih ingat masa itu zaman pakai negatif filem dan segalanya manual. Hinggalah satu ketika melanjutkan pengajian dalam bidang grafik dan animasi, aku sudah mula jarang mengambil gambar.

Aku mula kembali mengambil gambar apabila sudah bekerja dan tugasan model 3D banyak tertumpu pada pembikinan tekstur seperti batu bata, permukaan jalan raya, rumput dan lain-lain. Gambar-gambar tekstur tersebut banyak digunakan untuk memanipulasikan pada grafik dan model 3D. Dari situ aku kembali mengambil gambar yang sebelum ini banyak tertumpu kepada manusia dan ‘property’.

Soalan: Bila kau perasan yang kau ada bakat dalam bidang ini?
Jawapan: Hendak katakan yang aku ini berbakat sangat tu tidak lah… Cuma aku ni jenis suka mencuba dan hendak tahu samada aku betul-betul boleh mengambil gambar orang dengan betul. Disebabkan terlampau minat tentang fotografi, setiap majlis aku akan redah dan buat muka tak malu untuk mengambil gambar. Hinggakan kena marah pun ada. Maklumlah, aku bukannya jurufoto rasmi mereka. Lepas mengambil gambar, aku pergi kedai gambar untuk mencuci dan menikmati hasilnya. Gambar-gambar yang berjaya dirakam itu pula akan dikomen oleh ayah aku. Dari situ aku akan cuba memperbaiki teknik-teknik mengambil gambar. Jadi, sejak itu aku sudah mula suka dengan ‘human shot’. Tidak kiralah apa acara yang diadakan akan aku redah. Siang atau malam tidak jadi penghalang untuk aku terus mengambil gambar.

Soalan: Siapakah idola kau dalam bidang fotografi dan sejauh mana kesannya ke atas foto-foto yang kau ambil?
Jawapan: Di dalam Malaysia, idola aku adalah ayah aku sendiri. Seterusnya adalah Acai, Syahrin Aziz, Hasnuddin Abu Samah, Ted Adnan dan Saiful Nang. Bagi jurufoto di luar negara pula adalah Calvin Hollywood, Jessica Claire dan juga Joey Lawrence.

Dari sudut kreativiti pula, ada beberapa jurufoto yang memang sentiasa aku jadikan mereka ini sebagai rujukan. Dari segi cara mengambil gambar, cara penggunaan cahaya hinggalah penghasilan mengedit gambar. Salah seorang idola aku yang arif tentang cahaya adalah saudara Acai. Beliau memang pakar penata cahaya dan gambar-gambar yang diedit cukup menarik. Seperti juga Alvin Hollywood, Jessica Claire serta Joey Lawrence yang hebat dengan penataan cahaya serta gambar-gambar yang diambil cukup menarik dan setiap penghasilan gambar yang cukup kemas. Dengan adanya mereka ini, sedikit sebanyak dapat membantu aku.

Dan, hingga kini aku masih lagi sedang mempelajari teknik-teknik fotografi yang dihasilkan oleh mereka yang aku sebutkan tadi.

Soalan: Kenapa memilih bidang fotografi sebagai pekerjaan sampingan? Mengapa tidak bidang videografi atau multimedia?
Jawapan: Aku pernah juga buat partime videografi dan multimedia bahkan pernah terlibat dalam pembikinan animasi 3D untuk beberapa pelanggan seperti TNB, Metro Vision, RTM, TV3 dan Astro.

Satu perkara yang membuatkan aku memilih bidang fotografi kerana ia banyak menggunakan ketajaman minda serta kefahaman membaca fizikal seseorang serta beramah mesra dengan pelbagai lapisan masyarakat dan kaum. Dan juga secara tidak langsung dapat berkongsi pendapat dengan mereka yang sama bidang dengan aku. Itulah sebabnya aku lebih senang memilih bidang ini sebagai kerja sampingan. Bukan sahaja dapat menambah duit poket, malah dapat mempelajari teknik-teknik baru dan mencari idea-idea terkini untuk digunakan pada masa akan datang.

Insyallah, kalau ada rezeki aku akan buat perkerjaan ini sebagai sepenuh masa. Tetapi, bukan sekarang lah!

Soalan: Pernahkah mendapat pendidikan secara khusus dalam bidang fotografi?
Jawapan: Ya, pernah. Sehingga kini masih menyertai kursus-kursus yang dianjurkan oleh beberapa badan bukan kerajaan.

Soalan: Boleh kau senaraikan peralatan-peralatan yang kau ada untuk menjalankan pekerjaan ini?
Jawapan:
Ermmm… Peralatan tidaklah sehebat mana pun. Tetapi, kebanyakkan lensa yang aku ada adalah yang bermutu tinggi dalam kelasnya seperti 10-22mm F3.5-4.5 wide lens, 17-55mm F2.8, 24-70mm F2.8, 50mm F1.8 dan 70-200mm L IS F2.8. Aku mempunyai tiga jenis kamera iaitu Canon EOS 40D, Canon EOS 350D dan Nikon D50.

Bagi alatan tambahan pula adalah speedlight, radio remote dan studio light. Tidak semua peralatan dan kamera yang dibawa ke lokasi. Ianya bergantung pada permintaan pelanggan. Sekiranya ada mengambil gambar outdoor, aku akan sediakan 70-200mm untuk di bawa ke lokasi.

Soalan: Pernahkah ditipu oleh pelanggan dan bagaimana kau mengatasinya untuk mengelakkan perkara sebegini berlaku?
Jawapan: Setakat ni alhamdullilah, pelanggan semua bagus. Tetapi, sekiranya berlaku perkara sebegini, aku akan berjumpa dengan mereka terlebih dahulu. Jika cara itu tidak berhasil maka tindakan undang-undang akan diambil. Setiap pelanggan dan jurugambar perlu ada surat perjanjian bagi mengelakkan perkara sebegini berlaku.

Kebiasaannya, wang pendahuluan sebanyak 50% akan diambil. Lagipun, sekiranya mereka tidak membayar baki sebanyak 50%, album dan CD masih ada pada aku. Pelanggan perlu menyelesaikan baki 50% tersebut untuk mendapatkan album dan CD itu.

Soalan: Aku perhatikan yang kau banyak mengambil gambar perkahwinan. Adakah mengambil gambar perkahwinan adalah pilihan utama kau berbanding mengambil gambar model-model untuk majalah. Adakah disebabkan bayarannya yang lebih memberansangkan? Atau ada sebab lain?
Jawapan: Kebanyakan pelanggan yang melayari blog atau laman web aku akan terfikir yang aku ini lebih kepada gambar perkahwinan sahaja. Sebenarnya, ianya bergantung pada permintaan. Ada juga yang aku ambil gambar untuk profil korporat, sambutan hari jadi dan ibu yang sedang mengandung anak pertama. Pada masa yang sama, ada juga yang menghubungi aku untuk mengambil gambar model bagi majalah mereka. Namun, permintaan-permintaan tersebut sukar ditunaikan kerana sebagai jurugambar sambilan, waktu kerja tetap aku adalah dari jam 9 pagi hingga 5.30 petang. Masa aku banyak tertumpu pada kerja sepenuh masa aku.

Soalan: Apa nasihat kau bagi mereka yang ingin menceburi bidang fotografi sebagai freelancing atau jadikan sebagai pekerjaan kedua?
Jawapan: Nasihat aku pada mereka di luar sana yang sukakan kerja begini, ianya bukan satu kerja yang boleh dibuat sambil lewa. Ianya adalah satu nikmat serta kepuasan pada kita sendiri. Dan, perlu diingatkan bahawa bukan sahaja wang, tetapi kualiti juga perlu dititik-beratkan. Bila kita sudah mahir dalam bidang ini, janganlah kita meninggi diri dan bongkak.

Soalan: Mungkin ada pesanan kepada pembaca blog FarizalHassan.com sebagai penutup?
Jawapan: Terima kasih kepada pembaca blog www.FarizalHassan.com kerana sudi membaca temubual ini. Kepada sesiapa yang ingin menghubungi aku bolehlah melayari www.extrumedia.com atau hubungi aku secara terus ditalian 012 330 5858.

Ya, itu lah dia temubual aku bersama Rithaudin daripada Extrumedia. Pada masa akan datang, aku akan menemubual lebih ramai lagi dengan mereka yang bijak mencari wang dengan melakukan sesuatu yang mereka taksub. Kemungkinan para pembaca boleh menjadikan cerita-cerita mereka sebagai panduan dan secara tidak langsung dapat mengenalpasti peluang yang ada di depan mata.

PS: Pos kali ini tidak ada sangkut paut langsung dengan Freemason. Pembuka kata tadi hanyalah perbandingan semata-mata dan tidak lebih daripada itu. Tetapi, perlu diingatkan bahawa Freemason adalah satu pertubuhan rahsia yang amat merbahaya kepada kita semua.

PPS: Pos kali ini agak panjang. Ini perkara biasa bagi sesebuah artikel berkonsep temubual :) Diharapkan pos kali ini dapat memberikan anda satu input yang baru.

Dana Kecemasan Ketika Berhari Raya

Anggaran masa membaca: 4 – 6 minit

Dana Kecemasan Ketika Berhari Raya

Agak lama juga aku tidak membuat sebarang pos pada blog ini; Daripada hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-52 hinggalah pada Hari Raya Aidilfitri yang kita sambut sepanjang 21 Syawal ini. Ini membawa maksud kita masih lagi mempunyai baki 9 hari lagi untuk ber-Hari Raya :)

Hari Raya pada tahun ini sama seperti pada Hari Raya dua tahun yang lepas. Pada Hari Raya dua tahun yang lepas, aku terpaksa mengeluarkan rm1000 untuk menukarkan gear box Kancil 850 aku yang sudahpun rosak 5 bulan sebelumnya. Walaupun sudah rosak agak lama, aku masih menangguhkan untuk membaiki gear box tersebut. Ini kerana sumber kewangan yang amat terhad. Sungguh ironik sekali!

Ketika itu, aku masih lagi tidak mempunyai dana kecemasan. Dengan sumber kewangan yang terhad, dan hanya  berbekalkan gaji pada bulan itu, aku gagahkan juga untuk mengeluarkan rm1000 untuk membaiki kereta. Bayangkan, lagi seminggu untuk berhari raya dan rm1000 pula habis ke kereta.

Pada tahun ini, Hari Raya Aidilfitri aku seperti juga pada dua tahun yang lepas – kereta Kancil aku meragam kembali. Tetapi, kali ini ragaman yang dibuat lebih parah! Kerosakan pertama terjadi ketika pulang daripada kerja dan pada hari yang sama juga aku merancang pulang ke kampung untuk berbuka puasa bersama-sama keluarga.

Seminggu lepas itu pula, beberapa komponen-komponen penting pada enjin mula buat hal. Disamping itu pula, ke empat-empat tayar juga perlu ditukar. Kos pembaikan semua mencecah rm2000.

Pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini berjalan dengan meriah sekali :) Aku dulu adalah bukan aku pada dua tahun lepas. Berbekalkan pembacaan buku-buku hal ehwal kewangan memang membuahkan hasil. Dana kecemasan yang aku wujudkan memang membantu aku apabila terjadinya hal-hal yang boleh mencemaskan sesetengah pihak. Makin cemas lagi bila waktu kecemasan tersebut bergantung sepenuhnya pada kad kredit.

Ya, inilah gunanya dana kecemasan. Dana kecemasan adalah amat penting dan tahap kepentingannya sama seperti seorang pemain bola sepak yang memerlukan sebiji bola ketika di padang (Aku tidak maksudkan kepada pemain-pemain yang terlibat dalam isu rasuah dan juga jual beli permainan!). Apa yang diceritakan tadi adalah satu situasi yang kita tidak sangkakan. Ianya boleh terjadi pada kebanyakkan orang yang sedang bernyawa. Jadi, perkara ini tidak boleh dipandang mudah.

Kita semua perlukan satu dana yang khusus hanya diperuntukkan pada satu tujuan iaitu sejumlah wang tunai yang boleh digunakan waktu kecemasan. Dalam erti kata lain, wang tunai tersebut mampu menyelesaikan masalah tersebut dengan pantas.

“Eleh, kad kredit pun boleh selesaikan masalah dengan pantas bila terjadinya kecemasan. Apa nak kecoh-kecoh…!”, Khairul Mat Dom mula mempertahankan kad kredit emasnya.

“Ye lah, memang kad kredit boleh selesaikan masalah tu dengan cepat. Tapi, itu hutang dan bukannya tunai… Bila kita ada duit tunai, buat apa nak berhutang!”, balas aku sambil tengok video-video di YouTube.

Kebiasaannya, dana kecemasan memerlukan sejumlah simpanan sebanyak 3 bulan gaji ataupun 6 bulan gaji. Itu adalah satu tanda aras bagi pendapat para bijaksana dalam perancang kewangan peribadi yang bertauliah.

Pada pendapat aku yang tidak bertauliah oleh mana-mana pihak, hanya berbekalkan pengalaman-pengalaman lepas, dana kecemasan yang aku wujudkan adalah berdasarkan jumlah perbelanjaan bulanan yang ditanggung selama 3 bulan. Yang dimaksudkan perbelanjaan bulanan yang ditanggung adalah seperti:

  • Ansuran pinjaman perumahan
  • Ansuran pinjaman kereta
  • Pinjaman peribadi
  • Insurans
  • Perbelanjaan isi rumah
  • Segala bil elektrik, air, Astro
  • Minyak kenderaan

Sekiranya terjadi pada aku seperti kehilangan kerja dengan tiba-tiba, wang tersebut mampu menyara aku sekeluarga selama 3 bulan sementara mendapat pekerjaan baru.

Sebenarnya, dana kecemasan tidak pernah cukup dan memerlukan simpanan berterusan. Walaupun dana kecemasan sudah mencukupi untuk menanggung kehidupan anda selama 3 bulan, simpanan berterusan perlu terus dilakukan sebagai persiapan sekiranya terjadi hal-hal yang tidak diingini seperti kenderaan rosak atau apa-apa kejadian yang boleh mengganggu kehidupan seharian.

Sebagai contoh, telah aku berikan dua situasi yang diambil daripada pengalaman peribadi aku sendiri. Situasi pertama adalah bagaimana keadaan aku menguruskan waktu getir tanpa dana kecemasan. Dan, satu lagi situasi dimana aku berjaya menyelesaikan masalah kecemasan dengan hati yang lapang. Dua situasi yang jauh bezanya dan ianya pernah terjadi pada aku.

Sekiranya seseorang itu tiada dana kecemasan secara tunai, aku cadangkan ianya harus bermula menyimpan dengan serta merta. Bukan esok, minggu depan atau hujung bulan. Tetapi sekarang! Apabila dana kecemasan anda sudah capai satu tanda aras yang sudah ditetapkan, anda akan faham erti tidur lena :D

PS: Pertolongan pertama yang sampai di Padang, Jawa Barat Indonesia adalah dari Malaysia. Tetapi, fitnah terus dilemparkan kepada Malaysia. Apa-apapun, syabas kepada rakyat Malaysia yang pemurah dan bersifat profesional.

PPS: Kepada sesiapa yang belum menyumbang apa-apa kepada mangsa gempa bumi, sila lah bermurah hati memberikan apa jua pertolongan yang dirasakan mampu.

PPS: Sebentar tadi aku diberi peluang untuk memandu uji Honda City model 2009 di Puchong. Jauh beza dari Kancil 850. Terima kasih di atas layanan baik anda, Mr. Gary!

Ulasan Buku Bajet Wang – Cara Untuk Mengatasi Masalah Kekurangan Wang

Anggaran masa membaca: 4 – 7 minit

Bajet Wang

Kali ini aku ingin berkongsi ulasan mengenai sebuah buku yang berjudul “Bajet Wang – Cara Untuk Mengatasi Masalah Kekurangan Wang” oleh Khairulnahar Jamaluddin. Sebelum ini aku tidak pernah dengar mengenai penulis ini hinggalah pada dua bulan lepas aku membaca hasil penulisan beliau iaitu ebook Wang Gaji. Kandungan ebook tersebut membuatkan aku terpanggil untuk membaca buku beliau yang seterusnya :)

Sebelum aku mengulas buku “Bajet Wang – Cara Untuk Mengatasi Masalah Kekurangan Wang”, ingin aku menyentuh sedikit ebook Wang Gaji yang aku nyatakan tadi. Tahap pemahaman aku tentang kewangan peribadi amatlah rendah dan sedikit. Jadi, sedikit sebanyak ebook Wang Gaji itu dapat membantu aku lebih memahami bagaimana untuk menguruskan gaji bulanan yang aku terima setiap bulan. Walaupun sebelum ini aku berkemampuan untuk menyimpan sedikit daripada gaji aku, itu tidak bermakna tahap pemahaman aku sudah sama hebat seperti Robert Kiyosaki atau pun sehebat bekas penyanyi Helloween iaitu Michael Kiske.

Boleh aku katakan yang aku sentiasa perlukan panduan bagi memastikan tahap kewangan aku dalam keadaan terkawal. Jadi, ebook Wang Gaji ini dapat membantu aku. Oh ya, Kalkulator Belanjawan yang diberikan sebagai bonus amat membantu aku bagi memastikan gaji yang aku terima setiap bulan dalam keadaan terkawal.

Okey, tutup cerita Wang Gaji dan kembali kepada topik asal iaitu “Bajet Wang – Cara Untuk Mengatasi Masalah Kekurangan Wang”. Buku ini diterbitkan oleh Truewealth Publishing iaitu sebuah syarikat kepunyaan Azizi Ali.

Buku ini boleh aku katakan sebagai ‘turutan’ daripada buku Azizi Ali iaitu “Jutawan Dari Planet Jupiter”. Mengapa aku katakan ‘turutan’? Ini kerana buku “Jutawan Dari Planet Jupiter” adalah lebih kepada pencucian minda serta meliputi perihal kewangan secara menyeluruh; Dan anda boleh menangis apabila mengenangkan kezaliman yang telah dilakukan ke atas wang anda sendiri ketika membacanya. Manakala buku “Bajet Wang – Cara Untuk Mengatasi Masalah Kekurangan Wang” pula hanya fokus kepada 7 cara untuk mengatasi masalah kekurangan wang.

Melalui buku ini, anda boleh belajar:

  1. Cara untuk mengenal pasti tahap kedudukan kewangan semasa anda.
  2. Cara bagaimana mengesan tabiat perbelanjaan samada baik ataupun tidak.
  3. Membuat perancangan kewangan peribadi agar tidak sentiasa komplen wang tidak cukup.
  4. Cara memenuhi keperluan dan nafsu serakah ke arah liabiliti seperti barang-barang yang anda idam-idamkan tanpa perlu berhutang atau membuat pinjaman.
  5. Cara untuk menjadi jutawan dengan menggunakan kuasa masa.
  6. Belajar bagaimana mengira kadar faedah yang dikenakan oleh bank.
  7. Menghapuskan hutang dan berhenti daripada tabiat berhutang.
  8. Mengenalpasti pembohongan dan penipuan Skim Cepat Kaya.

Kalau hendak memahirkan ke lapan-lapan perkara yang disebutkan tadi dalam waktu 31 hari memang boleh memberi kekejangan saraf pituitari pada otak kita. Silap-silap boleh memberi kesan yang buruk kepada fotosistesis! Aku sebenarnya lebih tumpukan kepada tabiat perbelanjaan, perancangan kewangan peribadi dalam keadaan terkawal serta memastikan kadar faedah yang dikenakan oleh bank tidak membebankan. Itu sahaja. Aku hanya memberi tumpuan kepada apa yang diperlukan sekarang ini. Yang selebihnya, kemudian cerita.

Sekiranya anda menghadapi masalah kewangan ketika ini, diharapkan janganlah tergopoh-gopoh untuk menghabiskan satu buku dalam masa 24 jam. Berikan sedikit ruang pada diri anda untuk menilai mana satu topik yang anda perlu dahulukan. Masalah kewangan bukan dapat diselesaikan dalam waktu yang singkat. Sebagai contoh, aku mula menyelesaikan masalah kewangan pada tahun 2006 dan memperolehi kesan positif pada pertengahan tahun 2007. Ianya mengambil masa sebanyak 47 335 389 saat!

Walaubagaimanapun, ianya bergantung sejauh mana kuatnya semangat anda. Sekiranya semangat anda mempunyai antibodi yang kuat, kemungkinan masalah kewangan anda dapat diselesaikan dalam masa 23 667 694.5 saat sahaja.

Oh ya, dalam buku ini terlampau banyak tanda seruan pada penghujung ayatnya. Kemungkinan penulis ingin mengejutkan pembaca yang boros dalam berbelanja. Jadi, sekiranya anda mempunyai masalah kewangan dan masih tidak sedar-sedar anda sedang menghadapi masalah kewangan, pastikan anda tidak membaca sambil meminum kopi atau milo. Ini boleh membuatkan anda sentiasa tersedak ketika membaca dan mengakibatkan baju anda yang berjenama ‘Ermenegildo Zegna’ mengalami kekotoran yang amat dahsyat!

PS: Penularan H1N1 makin serius dengan kadar kematian semakin meningkat. Sekarang ini bukan waktunya untuk kita mempamerkan kejelitaan atau kehenseman di khalayak ramai. Pakai topeng untuk keselamatan.

PPS: Aku sedang mengkonsistenkan pos-pos pada blog ini. Menulis artikel bukanlah mudah seperti menghabiskan wang untuk membeli barang-barang yang tidak berfaedah. Sekiranya anda sentiasa menantikan pos-pos aku ini, berikan aku semangat dengan meninggalkan komen-komen yang disediakan di bawah :D

PPPS: Terima kasih kepada pembaca-pembaca baru dan pembaca-pembaca yang setia :)

Bio Papé Asey Bergayé

Anggaran masa membaca: 3 – 4 minit

Membeli Untuk Nampak Kaya

Salah satu pepatah popular seringkali orang Perak jadikan bahan lawak (atau perli):

“Bio Papé Asey Bergayé”

Atau dalam Bahasa Malaysia yang standard nya adalah berbunyi begini:

“Biar Papa Asal Bergaya”

Ianya membawa maksud seseorang itu sanggup menghabiskan wang untuk nampak lebih bergaya atau mungkin untuk kelihatan sedikit hensem. Di mata orang yang melihatnya, akan beranggapan bahawa mereka ini seorang yang sangat kaya. Apa tidaknya, kereta yang dipandunya sahaja melebihi RM100 000, pakaiannya Hugo Boss, seluar rasminya pula berjenama Levi’s 501 serta jam di tangan berjenama Rolex yang dibeli di Alamanda. Pada zahirnya mereka ini kelihatan cukup kaya dan berjaya di dalam kerjaya yang dipilihnya. Dengan gaji RM5000, berkemampuan untuk memiliki segala kemewahan duniawi.

Pada batinnya pula, poket dalam keadaan parah serta gangguan emosi yang cukup hebat. Segala perbelanjaannya adalah bergantung penuh pada gaji bulanan. Sekiranya gaji tidak mencukupi, kad kredit emas pengganti yang setia sepanjang masa.

Perilaku di atas sama seperti menghantuk kepala di tiang lampu trafik dengan sekuat hati. Walaupun berdarah dan sakit, tetap diteruskan jua hantukan tersebut untuk menunjukkan kekuatan dan tampak hebat kepada orang yang lalu lalang di sekitarnya.

Pada anggapan golongan pengamal tegar pepatah “Bio Papé Asey Bergayé” ini, untuk menjadi kaya mestilah membeli barang-barang yang kelihatan mewah. Dengan harapan, hidup akan mewah dan gaya, mutu serta keunggulan akan lebih terserlah. Tetapi, apa yang pasti, perilaku tersebut adalah salah!

Kalau seseorang itu seorang yang betul-betul kaya. Tidak ada salahnya memakai sesuatu yang dirasakan mampu untuk berbuat demikian. Tiada salahnya memandu kereta BMW, memakai jam Rolex atau memakai pakaian berjenama yang tak masuk akal harganya. Tetapi, kalau tengah bulan pun dah mula pening kepala gaji hampir habis, bukankah tidak patut? Bukankah ianya menzalimi diri sendiri?

Bagaimana untuk tidak menzalimi diri sendiri? Anda mula bertanya. Dibawah ini adalah jawapannya dan ianya cukup mudah:

  1. Membayar zakat
  2. Menyimpan sebahagian pendapatan bulanan sekurang-kurangnya 10% secara tetap
  3. Mewujudkan dana kecemasan, tabung persaraan & insuran
  4. Melabur dan membina aset
  5. Berbelanja mengikut kemampuan

Itu sahaja. Lima perkara sahaja anda mampu memberi kebaikan untuk diri sendiri serta keluarga anda. Tidak ada gunanya kita mampu menghasilkan puluhan ribu ringgit setiap sebulan sedangkan wang tersebut tidak dimanfaatkan dengan betul dan tidak berhati-hati setiap perbelanjaan yang dikeluarkan.

Anda tidak perlu kedekut untuk menjadi kaya. Untuk menjadi kaya, anda perlu menjadi pemurah. Pemurah disini bukan membawa maksud membelanjakan kesemua wang dengan membeli barangan yang tidak berfaedah. Sebaliknya, perbanyakkanlah sedekah dan berzakat. Dalam erti kata lain, sebelum menerima, anda perlu memberi dahulu.

Ringkasannya, fahami apa itu liabiliti dan aset. Ini adalah kerana dua perkara tersebut adalah asas untuk bebas daripada hutang lapuk dan anda tidak akan ada masalah untuk menyimpan wang secara konsisten dalam jumlah yang sama setiap bulan.

PS: Aku hanya senaraikan 5 yang terpenting sahaja. Anda mesti mempunyai senarai melebihi apa yang aku nyatakan di atas. Jadi, sila lah berkongsi dengan pembaca lain di ruang komen yang disediakan :)

PPS: Al-Fatihah untuk Mikeel Jackson. Semoga allahyarham ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.